TEKA-TEKI mengenai pengendali baharu Kelantan FC semakin terjawab selepas pemilik kelab The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman memberi satu lagi petunjuk kepada penyokong pasukan berkenaan.
Jika sebelum ini Norizam ataupun lebih mesra dengan panggilan Zamsaham membuat hantaran dengan menyatakan hasratnya untuk mengambil ketua jurulatih dari Korea Selatan dan perkara itu mendapat maklum balas positif dari para peminat.
Prestasi baik DNA Korea Selatan tidak perlu dibicarakan lagi apabila beberapa pengendali dari negara itu sudah bertapak dan mencipta nama di bola sepak Asia Tenggara.
Antara nama pengendali yang cukup terkenal ialah Kim Pan-gon (Malaysia), Shin Tae-yong (Indonesia) dan Park Hang-seo (Vietnam).
Selepas menyatakan minatnya untuk mengambil pengendali dari Korea Selatan itu, usahawan berkenaan sekali lagi membuat penyokong teruja dengan hantaran terbaharu dari laman Facebook rasmi Kelantan FC.
Menerusi hantaran berkenaan, skuad TRW dilihat menawarkan jawatan kosong pembantu peribadi yang fasih berbahasa Korea dan perkara itu boleh dikaitkan dengan desas-desus Kelantan bakal dikemudi jurulatih Korea Selatan.
Poster tawaran kerjaya bersama TRW yang dikaitkan dengan pengendali dari Korea Selatan. — Facebook/TRW
“Bagi mereka yang sedang mencari jawatan kosong berkelayakan dan berminat untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan di Kelantan Football Club, anda diminta untuk membuat permohonan sekarang.
“Sila hantar permohonan ke emel rasmi [email protected]. Tarikh tutup untuk permohonan ini adalah pada 8 Disember 2022, 12 malam. Terima kasih,” tulis hantaran itu sambil memuat naik poster tawaran jawatan kosong tersebut.
Bukan itu sahaja, tempoh singkat permohanan jawatan kosong tersebut juga seperti memberi bayang bahawa Zamsaham sudah melantik individu untuk menerajui TRW pada musim depan.
Selain daripada khabar angin mengaitkan hantaran itu dengan ketua jurulatih, ada juga berpendapat bahawa individu dari Korea Selatan itu akan memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal Kelantan FC.
“Aaaaa petunjuk dah ada Korean. Bersesuaian dengan Kim Pan-gon ketua jurulatih Malaysia, mantap,” komen penyokong TRW, Ahmad Mohd Azman.
“Mungkin bukan jurulatih..pengarah teknikal mungkin,” tulis penyokong Kelantan FC, Muhmad Irfan.
Penyokong TRW sebelum ini mengaitkan Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo bakal hadir ke Kelantan dan ada yang mendakwa melihat kelibatnya di Kota Bharu.
Terdahulu, beberapa nama jurulatih tempatan disebut bakal menggantikan Rezal Zambery di antaranya adalah P. Maniam dan bekas jurulatih Johor FC, Mohd Azuan Zain.
Sebelum ini Majoriti turut menyenaraikan beberapa nama yang dilihat sesuai untuk mengemudi pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu dan antaranya ialah bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B23) Korea Selatan Kim Hak-bum, penolong jurulatih kelab Liga Perdana Hong Kong, Kitchee SC, Kim Dong-jin dan penolong ketua jurulatih Korea Selatan B-23, Kim Eun-jung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram