PENGARAH teknikal Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner hampir pasti menjadi pilihan menggantikan Nafuzi Zain sebagai pengendali baharu musim depan.
Perkara itu pernah dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Ahli Lembaga Pengarah TFC.
Wan Sukairi berkata, jurulatih berusia 56 tahun berasal dari Croatia itu adalah pilihan kedua TFC selain Nafuzi untuk membimbing skuad Penyu mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.
Bagaimanapun, Wan Sukairi berkata, pengumuman mengenai jawatan ketua jurulatih TFC itu akan dibuat oleh pihak pengurusan dalam masa yang terdekat.
Namun, dalam kalangan penyokong TFC timbul kerisauan dan persoalan adakah Steinbruckner boleh meneruskan kecemerlangan legasi yang ditinggalkan oleh Nafuzi Zain untuk menghadapi saingan musim depan.
Majoriti menyenaraikan tiga speciality yang ada pada pengarah teknikal TFC, Tomislav Steinbruckner:
Steinbruckner ketika menjadi Ketua Jurulatih Bijelo Brdo sebelum dilantik menjadi Pengarah Teknikal TFC. — Agensi
1. Pengalaman
Tidak dapat dinafikan lagi pengalaman yang dimiliki Tomislav Steinbruckner di kancah bola sepak Asia Tenggara amat luas.
Ini kerana, dia pernah bermain di dalam Liga Singapura pada 1999 bersama Singapore Armed Forces FC sebagai pemain import buat pasukan itu.
Selepas kariernya sebagai pemain bola sepak berakhir, dia mula melibatkan diri dalam dunia kejurulatihan dengan membimbing pasukan NK Osijek di Liga Utama Crotia pada 2008.
Selepas beberapa tahun terlibat dalam dunia bola sepak Eropah, dia kemudiannya berhijrah ke Malaysia sebagai Ketua Jurulatih T-Team pada 2015 dan berjaya membawa pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Perdana selepas aksi buruk pada musim 2014.
Pada tahun ini, Steinbruckner kembali ke bumi Terengganu sebagai Pengarah teknikal TFC FC dan akan dilantik sebagai Ketua Jurulatih TFC untuk musim depan.
Steinbruckner adalah antara individu awal yang mengembangkan bakat Safawi Rasid sebelum dia sertai JDT. — Twitter/Safawi Rashid
2. Pakar gilap pemain muda
Menurut laman sesawang Trasfermarkt, sejak 2011 Steinbruckner sudah banyak terlibat dengan pasukan remaja di Eropah.
Antara pasukan yang dilatih oleh jurulatih berusia 56 tahun ini ialah NK Osijek Bawah 17(B17) tahun, B19 tahun dan NK Novigrad B17 tahun.
Pada 2012, Steinbruckner turut pernah dilantik menjadi pengurus akademi NK Novigrad sebelum kembali melatih pasukan utama NK Osijek pada 2013.
Mungkin disebabkan itu, TFC melantik Steinbruckner sebagai Pengarah teknikal TFC FC untuk mengcungkil lagi bakat-bakat pemain muda Terengganu.
Ini kerana Steinbruckner juga adalah antara individu awal yang mengembangkan bakat Safawi Rasid di peringkat awal karier bintang Johor Darul Takzim (JDT) itu ketika masih bersama T-Team pada 2015.
Steinbruckner gemar menggunakan corak permainan seperti hantaran pendek dan menguasai bola.
3. Taktikal
Jika nak dibandingkan corak permainan yang dibawa oleh Steinbruckner tidak jauh beza dengan Nafuzi Zain.
Ini kerana sewaktu Steinbruckner membimbing pasukan T-Team dapat dilihat taktikal yang dibawa ialah hantaran pendek dan menguasai bola.
Corak permainan seperti ini turut diadaptasi oleh Nafuzi sehingga mendapat gelaran 'Nafuzi Ball', mungkin dengan pemain yang sedia ada serta penambahbaikan beberapa muka baharu taktikal Steinbruckner akan lebih berbisa.
Perlu diingat, kehadiran Steinbruckner ke pasukan T-Team, merubah imej pasukan itu serta berjaya memberi saingan kepada pasukan lawan walaupun dengan bajet yang kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram