ADAKAH penyokong bola sepak tempatan mampu melupakan sentuhan bekas pemain Sri Pahang FC, Patrick Cruz yang pernah menjaringkan hatrik ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi suku akhir Piala FA 2018?
Kemenangan ketika berdepan skuad Harimau Selatan itu menjadi permulaan di sebalik kejayaan kelab Pantai Timur itu untuk menjulang trofi berkenaan, di mana ia adalah kejuaraan terakhir mereka setakat ini.
Tidak cukup dengan itu, kelibat Cruz juga pasti sukar untuk dilupakan penyokong setia Pahang apabila dia kerap memberi persembahan terbaik setiap kali diturunkan.
Bagaimanapun, meskipun pemain itu berjaya mencatatkan satu pulangan gol yang memberangsangkan, pihak pengurusan memilih untuk tidak mengekalkan khidmatnya.
Perkara itu pernah menjadi bualan hangat tetapi ada juga pihak yang berdiam diri setiap kali hal tersebut diketengahkan dan didesak untuk memberi penjelasan.
Patrick Cruz menempa namanya dengan jaringan hatrik ketika berdepan JDT ketika suku akhir Piala FA 2018. — Agensi
Baru-baru ini, ketika diminta Majoriti untuk memberi penjelasan akan perkara itu, Patrick Cruz memilih untuk bersuara selepas persoalan itu sudah hampir dilupakan penyokong Pahang.
"Mereka tidak bayar gaji saya hinggakan terpaksa buat aduan ke FIFA supaya mereka membayarnya kira-kira setahun selepas itu, itulah sebabnya," katanya kepada Majoriti.
Tegas pemain berusia 29 tahun itu, dia mengambil keputusan untuk tidak menceritakan hal itu secara umum dengan hanya ahli keluarga dan beberapa pemain yang mengetahui kebenarannya.
Selain itu, bekas penyerang T-Team itu juga menegaskan isu tersebut tidak hanya dihadapinya, malahan beberapa pemain lain turut berdepan nasib sama.
"Saya tidak mahu berkata mengenai mereka yang lain, tetapi saya tahu bahawa bukan saya sahaja yang berdepan isu sama. Tetapi, untuk situasi hari ini, saya tidak tahu," katanya.
Cruz (bawah, kiri) pernah menjulang Piala FA 2018 bersama Pahang FA.
Selepas dilepaskan Pahang FA, Patrick Cruz berkelana ke Thailand untuk menyertai Chonburi FC sebelum berhijrah ke beberapa kelab lain, termasuk mengambil cuti semusim pada 2020 atas alasan peribadi.
Ketika ini, pemain tersebut terikat dengan kelab kecil di Eropah, Ghajnsielem FC yang beraksi di divisyen teratas Malta bagi mendapatkan semula prestasi dan sentuhannya di hadapan pintu gol.
Semasa semusim bersama skuad Tok Gajah, penyerang itu berjaya mencuri perhatian penyokong dengan dia merekodkan enam gol serta dua 'assist' dalam tujuh penampilan.
Tidak cukup dengan itu, dia juga pasti tidak akan mampu melupakan momen-momen terindah dalam kancah Liga Malaysia apabila dia berjaya menjulang trofi Piala FA 2018, termasuk menjaringkan satu gol di pentas akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram