MESKIPUN jendela perpindahan Liga Malaysia baru sahaja dibuka pada Khamis, pelbagai berita tentang kemasukan dan penghijrahan keluar pemain sudah disaksikan penyokong bola sepak tempatan.
Antara pasukan yang tidak mahu menunggu lama untuk mengumumkan kehadiran wajah-wajah baharu untuk musim depan ialah naib johan Liga Super 2022, Terengganu FC.
Selain mengumumkan bekas Pengarah Teknikal, Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Nafuzi Zain, skuad Sang Penyu turut memberi satu lagi berita sensasi kepada penyokong.
Penyerang kelahiran Haiti, Sony Norde merupakan rekrut baharu pasukan yang diambil selepas difahamkan kontraknya bersama Melaka United terputus kira-kira pada Ogos.
Pemain yang cukup terkenal dengan kelincahan serta struktur fizikal kental itu semestinya menggembirakan penyokong, apatah lagi dengan ura-ura mengatakan pemain sayap, Faisal Halim bakal meninggalkan pasukan.
Sony Norde menjadi rekrut terbaharu Terengganu FC untuk musim depan. — Facebook/Terengganu FC
Di samping itu, terdapat juga perkhabaran bahawa kebanyakan import Sang Penyu bakal mengambil haluan masing-masing walaupun sudah mencurah khidmat terbaik buat kelab sepanjang musim.
Antara nama yang seakan-akan disahkan bakal mencari kelab lain ialah pemain tengah kelahiran Filipina, Manny Ott dengan laporan tidak rasmi mengatakan Kedah Darul Aman (KDA) FC bersedia untuk menyambar khidmatnya.
Hal itu dilihat sememangnya sukar diterima peminat setia Sang Penyu, lebih-lebih lagi apabila pemain berusia 30 tahun itu merupakan antara tonggak pasukan setelah mengumpul 32 penampilan sepanjang musim.
Di samping itu, sumbangannya di hadapan pintu gol juga cukup memberangsangkan selepas menjaringkan lima gol serta mencipta lima bantuan gol dalam aksi Liga Super.
Oleh itu, kehilangannya dijangka akan dirasai barisan kejurulatihan dengan pengganti yang bersesuaian dilihat masih belum dicari pihak pengurusan.
Namun, baru-baru ini, timbul satu khabar angin baharu di media sosial dengan mengatakan bekas pemain Melaka United dan Sabah FC, Luka Milunovic bakal menyarung jersi Terengganu FC musim depan.
Musim ini, pemain tersebut beraksi bersama kelab Greece, Niki Volos ketika tempoh perpindahan pemain dibuka pada September lalu dalam usaha pasukan itu mengukuhkan lagi skuad mereka.
Perkara itu serba sedikit menjejaskan statistik sumbangannya buat pasukan selepas dia hanya merekodkan empat penampilan liga tanpa menyumbang sebarang gol.
Milunovic ketika beraksi bersama Sabah FC pada 2020. — Agensi
Bagaimanapun, hal itu jelas tidak melunturkan semangat penyokong finalis Piala FA 2022 itu dengan rata-rata daripada mereka terbuka hati untuk melihat kehadiran Milunovic dalam pasukan musim depan.
"Nampak persediaan Terengganu FC untuk memantapkan pasukan dari segi aspek fizikal yang mana sedikit menjejaskan kemampuan pasukan musim ini," kata Faizwan Faez.
"Ohh, pada saya, dia ni memang berkualiti untuk pasukan. Dari aspek pertahanan dia OK, permainan yang agresif dan juga cekap mengendali bola," kata Ikhwan Hanafi.
"Terengganu sudah membuat persiapan awal, selamat datang ke keluarga Sang Penyu, Luka Milunovic," kata Nur Zahra.
Ketika berada dalam Liga Malaysia, pemain kelahiran Serbia itu pernah menjaringkan 10 gol dalam 21 penampilan sepanjang dua musim iaitu pada 2019 hingga 2020.
Selain mempunyai kelebihan dari segi fizikal, Milunovic juga cukup dikenali dengan kemampuannya untuk menjaringkan gol daripada luar kotak penalti menerusi rembatan deras. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram