PEMERGIAN bekas ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dilihat sudah tidak lagi diratapi oleh penyokong Terengganu apabila nama pengarah teknikal TFC, Tomislav Steinbruckner disebut sebagai penggantinya musim depan.
Dengan taktikal hantaran pendek dan menguasai bola, Steinbruckner diyakini boleh menyambung legasi 'Nafuzi Ball' dengan membawa pasukan itu lebih jauh dalam saingan domestik dan kempen Piala AFC 2023.
Bagaimanapun, kejayaan sesuatu pasukan bukan hanya bergantung pada seorang ketua jurulatih, tetapi dibantu oleh barisan kejurulatihan yang memiliki kepakaran dalam bidang sama.
Susulan itu, penyokong skuad Penyu mencadangkan agar khidmat bekas pemain tengah bertahan import mereka, George Boateng ditagih sebagai penolong jurulatih Steinbruckner.
Berikut merupakan lima sebab mengapa sentuhan penolong jurulatih pasukan kebangsaan Ghana itu wajar dipertimbangkan pengurusan TFC.
George menegur rakan kejurulatihannya yang bertindak berswafoto bersama bintang Korea Selatan, Heung-min Son yang sedang meratapi kekalahan pasukannya itu. —Agensi
1. Pengalaman di Piala Dunia
Boateng memulakan karier sebagai penolong jurulatih baharu pasukan kebangsaan Ghana pada Mei 2022 di samping ketua jurulatih, Otto Addo.
Bersama Otto, Boateng berpengalaman membimbing skuad kebangsaan mereka untuk layak ke Piala Dunia keempat mereka selepas menewaskan seteru Afrika Barat, Nigeria pada September lalu.
Di Qatar, pasukan Black Star telah diundi dalam Kumpulan H bersama Portugal, Uruguay dan Korea Selatan.
Ketika ini, Ghana masih ‘bernyawa’ untuk memburu tempat ke pusingan kedua Piala Dunia susulan kemenangan 3-2 yang dilakar ke atas Korea Selatan pada Isnin.
Pengalaman ini sudah tentu membentuk dimensi baharu bertaraf antarabangsa buat pasukan TFC, bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang.
Gandingan Boateng dan Hashim ketika mengemudi Kelatan FA.— Facebook
2. Pengalaman kejurulatihan di Malaysia
Kancah liga tempatan bukanlah suatu medan yang asing buat Boateng apabila memulakan karier kejurulatihannya pada 2014 bersama pasukan Kelantan FA.
Pada ketika itu, dia dibantu oleh bekas penyerang terbilang tanah air, Hashim Mustapha dan Zahasmi Ismail yang berperanan sebagai penolongnya.
Gandingan Boateng dan Hashim membantu Kelantan menduduki tangga keenam Liga Super, mara ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia.
Kelebihan membimbing pasukan Pantai Timur ini menjanjikan keserasian antara barisan pemain TFC dan Boateng sekali gus memudahkan komunikasi di atas padang.
Antara pemain import yang boleh ditarik adalah pemain Ghana.— Agensi
3. Tarik pemain import
Dengan statusnya sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Ghana yang memiliki pengalaman di Piala Dunia, sudah tentu ini mampu menarik minat pemain import untuk mengikutinya ke kancah Liga M.
Dengan ini, TFC bakal memiliki pemain-pemain import yang bermain di peringkat Piala Dunia sekali gus menguatkan lagi barisan pemain mereka pada musim akan datang.
Selain itu, skuad Sang Penyu pasti memerlukan sentuhan wajah-wajah baharu apabila mereka bakal berentap dalam Piala AFC musim depan.
Kehadiran pemain muda mahupun berpengalaman dari negara Afrika itu diramal mampu menyuntik perubahan dari segi kemampuan serta fizikal pasukan.
Boateng ketika menyarung jersi T-Team.—The Star
4. Legenda Pantai Timur
Boateng memiliki pengalaman sebagai pemain dalam Liga Malaysia apabila menandatangan kontrak bersama pasukan T-Team sebagai pemain pertahanan tengah selama untuk semusin iaitu pada 2012.
Bekas pemain antarabangsa Belanda itu pernah menyumbangkan dua gol sepanjang 15 penampilannya bersama skuad dari Pantai Timur tersebut.
T-Team merupakan pasukan terakhir Boateng sebelum 'gantung but' dan ini pasti legenda berusia 47 tahun tersebut itu masih memiliki nostalgia bersama Terengganu.
Boateng pernah menjadi pemain Aston Villa. —Agensi
5. Pernah bermain dalam EPL
Boateng pernah menyarung jersi beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Aston Villa dan Middlesbrough.
Selain pengalaman itu dilihat sebagai berharga, Boateng juga mampu mencipta satu hubungan tidak formal dengan pengurus daripada salah satu liga terbaik di dunia itu.
Ketika berada di Eropah, Boateng juga bukanlah satu pemain yang kerap disebut-sebut pasukan gergasi.
Tetapi, tempoh permainan itu serba sedikit mampu membawa perubahan terhadap suasana pasukan di dalam atau luar padang.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram