Tomi sah pengganti Nafuzi, 'sign' kontrak setahun bersama TFC


  • Podium
  • Khamis, 01 Dis 2022

Tomislav (kiri) merupakan bekas Ketua Pengarah Teknikal TFC sebelum diberikan tanggungjawab selaku jurulatih bagi menggantikan Nafuzi (kanan). — Facebook/TFC

KERUSI panas pengendali Terengganu FC (TFC) bagi musim 2023 akhirnya terjawab selepas pihak pengurusan kelab berkenaan mengumumkan Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih skuad Penyu bagi menggantikan jurulatih muda, Nafuzi Zain pada Khamis.

Menerusi kenyataan rasmi TFC pada Khamis, pengendali dari Croatia itu akan memegang tanggungjawab utama untuk membentuk pasukan TFC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023 dan juga saingan Piala AFC 2023.

Tomislav menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu untuk tempoh satu tahun iaitu bermula 1 Disember 2022 sehingga 31 Disember 2023.

"Semestinya cabaran untuk mengendalikan pasukan Terengganu FC adalah besar kerana pasukan ini mengakhiri saingan Liga Malaysia dengan rekod yang baik dan semestinya pihak pengurusan kelab serta para penyokong ingin melihatkan rekod yang lebih cemerlang dapat dicapai bagi saingan musim 2023.

"Namun beliau mengambil tanggungjawab ini dan bersedia untuk memberikan khidmat terbaik untuk kelab ini. Semoga Tomislav berjaya membawa kejuaraan buat Terengganu FC bagi musim 2023," jelas kenyataan berkenaan.

Pengendali berusia 56 tahun itu bukan nama yang asing bersama pasukan TFC berikutan sebelum ini Tomislav pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Teknikal kelab yang bermula pada 2022.

Untuk rekod, Tomislav juga pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Jurulatih T-Team pada 2015 dan berjaya membawa pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Perdana selepas aksi buruk pada musim 2014.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pelantikan bekas jurulatih kelahiran Croatia itu dibuat atas faktor pengalaman luas yang dimiliki beliau dalam arena kejurulatihan bola sepak di peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram