Selepas ikat Darren dan Irfan, Sabah perlu sambar 3 lagi bintang


  • Podium
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Skuad The Rhinos menamatkan satu kempen yang cemerlang di tangga ketiga Liga Super. — Facebook/Sabah FC

DALAM usaha mengukuhkan lagi kualiti skuad, Sabah FC mengambil keputusan untuk melakukan rombakan terhadap skuad selepas jendela perpindahan dibuka secara rasmi pada Khamis.

Penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok menjadi pemain pertama yang menyertai pasukan itu selepas berbulan-bulan khabar angin mengaitkan kedua-dua pihak.

Selain itu, skuad Sang Badak juga tidak menunggu lama untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan dengan menyambar khidmat pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria.

Kedua-dua pemain itu dilihat bakal meningkatkan keupayaan kelab itu apabila mengharungi satu kempen yang cemerlang di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan untuk beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan juga diramal akan memberi tekanan besar kepada skuad, lebih-lebih lagi terdapat perubahan struktur liga daripada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Namun, kemasukan Irfan dan Darren dilihat masih belum cukup untuk meningkatkan keupayaan pasukan apabila mereka turut mengumumkan dua pemain tidak akan bersama pasukan itu musim depan.

ong-kim-swee_1

Kim Swee (tengah) pastinya mahu mendapatkan beberapa pemain lagi ketika jendela perpindahan. Majoriti

Penyerang sayap kelahiran Jepun, Taiki Kagayama difahamkan bakal berkelana ke Eropah selepas tiada tawaran daripada barisan pengurusan untuk mengekalkan khidmatnya musim depan.

Di samping itu, pemain berusia 29 tahun, Jose Embalo turut diumumkan tidak lagi terikat dengan Sabah FC selepas prestasi yang mengecewakan apabila hanya menjaringkan satu gol daripada tujuh penampilan liga.

Kehilangan kedua-dua pemain itu semestinya memerlukan pengganti lebih baik sekiranya pasukan Borneo terbabit berhasrat untuk meneruskan momentum musim ini.

Tetapi, persoalan yang bermain dalam minda penyokong skuad Sang Badak adalah siapakah nama-nama untuk dibawa masuk pihak pengurusan dengan menilai kemampuan serta sumbangan mereka musim ini.

Melihat kepada situasi terkini, terdapat tiga pemain yang boleh dibawa masuk sekiranya Kim Swee bercita-cita besar dalam mengecapi kejayaan lebih gah musim depan.

1. Syahmi Safari (JDT)

Awal musim lalu, Johor Darul Takzim (JDT) bertegas bahawa kesemua pemain senior pasukan bakal dikekalkan selepas menjadi tulang belakang kepada tahun bersejarah mereka.

Namun, dalam satu sesi wawancara pada Rabu, pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim bertitah beberapa individu bakal dilepaskan secara pinjaman.

Meskipun tiada nama yang disebut dalam perkongsian itu, beberapa nama sepertinya sudah dikenal pasti bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan dengan salah satunya merupakan pertahanan kanan, Syahmi Safari.

Kehadiran pemain kebangsaan, Matthew Davies yang beraksi cemerlang serta konsisten sepanjang musim menyukarkan Syahmi untuk meraih minit permainan dengan lebih kerap.

Musim ini, pemain berusia 24 tahun itu hanya diturunkan sebanyak 11 kali dalam Liga Super dengan sembilan daripadanya merupakan penampilan daripada bangku simpanan.

1815990

Syahmi jarang diberi peluang dengan kehadiran Matt Davies sebagai pertahanan kanan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Oleh itu, Syahmi dijangka meninggalkan pasukan dan Sabah FC perlu bertindak agresif untuk menyambar pemain itu walaupun dengan status sebagai pemain pinjaman.

Ketika ini, skuad Sang Badak hanya memiliki Rizal Ghazali sebagai satu-satunya pertahanan kanan sementara pemain berusia, Alto Linus juga kadang-kadang diturunkan.

Hal itu jelas menjejaskan perancangan Kim Swee dengan kedua-dua pemain berkenaan dilihat kerap dirundung isu kecergasan, terutama Rizal yang tidak dapat diturunkan dalam lima aksi Liga Super.

Jadi, Syahmi dikatakan sebagai antara pilihan terbaik untuk memperkukuhkan lagi posisi itu di mana dia mampu menggalas tanggungjawab berat dari segi pertahanan mahupun serangan.

Persoalannya, adakah JDT bakal membenarkan Syahmi meninggalkan pasukan itu apabila dia tidak mengecewakan setiap kali diberi peluang oleh barisan kejurulatihan.

2. Adib Raop (Penang)

Meskipun tidak terpalit dengan sebarang isu pengurusan dan kewangan, Penang FC masih gagal untuk mencatatkan satu kempen yang cemerlang selepas menamatkan musim di tangga tercorot Liga Super.

Hal itu pastinya menyukarkan pihak pengurusan Harimau Kumbang untuk mengekalkan beberapa pemain yang seperti tidak dihargai walaupun tidak henti-henti mengerah keringat buat pasukan.

Antara nama yang diperhatikan menyerlah sepanjang musim ialah pemain tengah, Adib Raop yang bijak membaca gerakan rakan sepasukan.

Selain itu, dia juga kerap diberi pujian kerana kemampuannya melakukan hantaran kepada rakan sepasukan meskipun kerap disia-siakan di hadapan pintu gol.

Adib-Raop

Adib (kiri) merupakan antara pemain terbaik Penang FC musim ini. Facebook/Penang FC

Oleh itu, sekiranya Adib mula dipancing beberapa pasukan Liga Malaysia, Sabah FC merupakan antara destinasi ideal buatnya dengan barisan kejurulatihan pasti berhasrat untuk mendapatkan pemain di posisi berkenaan.

Walaupun memiliki Baddrol Bakhtiar, Park Tae-su dan Hanafie Tokyo yang mempunyai kelebihan masing-masing, seorang pemain gantian perlu diperolehi ketika jendela perpindahan ini.

Adib dilihat sebagai pemain yang mampu mengisi kekosongan itu, apatah lagi dengan kehadiran Baddrol yang mampu menyuntik pengalaman buatnya dalam jangka masa panjang.

Tidak cukup dengan itu, ubi muda itu juga difahamkan mampu beraksi sebagai pemain sayap kiri dan kanan, sekali gus membawa dimensi baharu buat skuad Sang Badak.

Usianya yang masih muda itu juga perlu diperhatikan selepas pasukan Borneo itu kerap diturunkan dengan taktikal tersendiri dari aspek mendapatkan semula bola daripada pihak lawan.

3. Nurshamil Abd Ghani (Kelantan FC)

Selepas mendapatkan Darren, sebahagian penyokong Sabah FC mula berasakan isu serangan mereka seperti sudah selesai dengan kehadiran pemain berusia 31 tahun yang cukup prolifik musim ini.

Tetapi, majoriti daripada mereka terus mempersoalkan ketajaman jentera serangan pasukan dengan penyerang muda, Azhad Harraz kerap diberi kritikan sepanjang musim.

Selain sering dilihat sebagai gopoh, pemain berkenaan juga difahamkan sering melakukan kesilapan mudah, lebih-lebih lagi dalam situasi serangan balas Sabah FC.

Jadi, seorang lagi penyudah berbisa perlu didapatkan dalam usaha memastikan kualiti serangan pasukan dapat dikekalkan sepanjang musim selain memastikan pasukan mudah merobek gawang lawan.

1709503

Kecemerlangan Nurshamil menarik perhatian beberapa pasukan Liga Malaysia. Facebook/TRW Kelantan FC

Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani merupakan salah satu pilihan terbaik di posisi tersebut selepas dia muncul sebagai antara pemain terbaik Liga Perdana musim lalu.

Dalam 13 penampilan liga, pemain kelahiran Melaka itu berjaya merekodkan lapan gol dalam membantu pasukan Pantai Timur tersebut menamatkan saingan di tangga kedua.

Selain itu, dia juga mampu menggalas tanggungjawab berat sepanjang musim apabila penyerang import, Nixon Guylherme kerap dilanda isu kecederaan.

Namun, Ogos lalu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, dia tidak akan menyekat perpindahan Nurshamil sekiranya terdapat tawaran berpatutan.

Sabah FC dilihat sebagai salah satu kelab terbaik untuk pemain tersebut terutama apabila mereka bakal berdepan cabaran besar dalam Liga Super serta pentas Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram