Siapa pengganti 5 import asal jadi sebutan, 4 poin penting 3 muka baharu pacu impak positif Sang Kenari musim 2023


  • Podium
  • Jumaat, 02 Dis 2022

Khidmat kelima-lima tonggak import Kedah ini dikhabarkan tidak lagi disambung musim depan. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) ternyata serius dalam usaha memantapkan lagi pasukan berkenaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila menamatkan kerjasama bersama lima pemain import mereka secara serentak pada Khamis.

Ahli Lembaga Pengarah KDA FC memutuskan untuk membawa haluan baharu pasukan Sang Kenari musim 2023 melalui perancangan jangka masa panjang, maka khidmat dan kontrak kesemua kelima pemain import musim ini tidak akan diperbaharui.

Lima import Kedah tersebut ialah Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr yang tamat kontraknya pada hujung November.

Musim 2022 ini menyaksikan skuad Hijau Kuning sekadar mengisi kedudukan kelapan dengan hanya memungut sebanyak 27 mata dalam saingan Liga Super.

Bukan itu sahaja, impian mereka untuk beraksi lebih tinggi pada saingan kejohanan Piala AFC terpaksa dilupakan selepas tewas 1-2 di tangan PSM Makassar pada aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara.

Tidak cukup dengan itu, pasukan Sang Kenari juga diaibkan pada kempen Piala Malaysia apabila mereka disingkir seawal peringkat pertama di tangan Negeri Sembilan FC.

Diakite merupakan kereta kebal yang digeruni di Terengganu. —Terengganu FC

Untuk merealisasikan impian untuk kembali ke zaman kegemilangan, Sang Kenari memerlukan khidmat import baharu dan calon paling sesuai adalah Pape Diakite, Ifedayo Olusegun dan Casagrande, seperti mana yang disebut-sebut peminat Kedah di laman sosial.

Berikut merupakan empat sebab mengapa tiga pemain ini sesuai untuk mengisi kelompongan yang ada pada skuad Hijau Kuning sebagai persediaan awal menjelang musim depan:

1. Hebat di posisi masing-masing

Kualiti seseorang pemain boleh dinilai berdasarkan rekod mereka bersama sepanjang pasukan lama dan ketiga-tiga pemain ini jelas mempamerkan prestasi cemerlang.

Sebagai bek tengah, Diakite merupakan pemain kepercayaan oleh bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain untuk membantu menguatkan kubu pertahanan skuad Sang Penyu dengan masa permainan 2,222 minit.

Ifedayo pula merupakan mesin gol yang pernah merekodkan 26 gol ketika bersama Selangor pada dua musim lepas, sekali gus muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2021.

Sementara itu, Casagrande turut mempamerkan asksi cemerlang dengan meledakkan dua gol bersamaan dengan dua bantuan gol biarpun hanya diturunkan sebanyak lima kali bersama Penang FC musim ini.

2. Fizikal yang mantap

Struktur badan pemain import yang besar dan tegap sering kali memberi kelebihan di atas padang jika dibandingkan dengan pemain tempatan.

Ketinggian ketiga-tiga pemain yang melebihi 180 meter boleh membantu mereka untuk beraksi cemerlang dalam posisi masing-masing.

Bagi Diakite, struktur badannya mampu membantu memperkuatkan lagi kubu pertahanan Kedah agar tidak mudah ditembusi mana-mana pemain.

Ifedayo merupakan mesin gol buat pasukan Selangor pada tahun 2021.—The Star

Selain itu, ketinggian kedua-dua penyerang itu juga menjadi satu suntikan kepada pasukan dengan Ifedayo berketinggian 180 meter sementara Casagrande mencecah 193 meter.

Hal itu cukup sesuai dengan Kedah mudah untuk memanfaatkan situasi sepakan percuma atau penjuru dengan mereka mampu mengambil peluang itu bagi menjaringkan gol dalam satu-satu perlawanan penting ketika berdepan situasi bola mati.

3. Pengalaman bermain di Malaysia

Keserasian bermain di liga tempatan turut boleh menjadi satu kelebihan buat pasukan Kedah kerana tidak perlu tunggu lama untuk pemain-pemain ini 'panas enjin'.

Biarpun baru satu musim bersama Terengganu FC, Diakite membuktikan bahawa dia mampu bekerjasama dengan baik bersama pasukannya sekali gus membawa skuad Penyu ketangga kedua Liga Super musim ini.

Buat Ifedayo pula, pengalaman bersama pasukan Selangor dan pasukan Melaka United FC (MUFC) membuatkannya sudah serasi dengan ramai pemain di dalam liga domestik.

Casagrande pernah berkhidmat dengan tiga kelab berbeza dalam liga tempatan. —Penang FC

Sementara bagi Casagrande yang mula berkhidmat di Malaysia sejak 2018, pengalamannya bermain di tiga kelab berbeza iaitu Felcra FC, MUFC dan Penang FC menjadikannya 'otai' kepada pemain-pemain import baharu Kedah nanti.

Ciri ini pastinya penting untuk ketiga-tiga pemain serta kelab yang pastinya tidak mahu menunggu lama dalam mengejar dan mengulangi semula kejayaan seperti musim-musim sebelum ini.

4. Liga Super 2023 lebih mencabar

Pertambahan pasukan Liga Super daripada 12 kepada 15 kelab sudah pastinya menambah tekanan kepada pihak kejurulatihan dalam membuat penggiliran pemain, apatah lagi dengan jumlah perlawanan sudah menjadi 28 aksi keseluruhan musim depan.

Dengan setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan enam pemain import, sudah tentu skuad Sang Kenari perlu merebut peluang untuk menyambar pemain-pemain import berkualiti sebaik sahaja jendela perpindahan dibuka.

Kedah yang pernah muncul sebagai juara double treble beberapa tahun lalu pastinya serik dengan episod kelam musim ini yang menyaksikan mereka jadi pasukan belasahan pada setiap kejohanan dalam liga tempatan.

Dengan kelebihan yang ada pada Ifedayo, Diakite dan Casagrande, skuad Sang Kenari mampu memperbaiki ketempangan yang wujud di posisi-posisi tertentu pasukan Kedah, jadi ada baiknya mereka segera berbuat sesuatu sebelum terlewat jika tidak mahu episod suram musim ini kembali berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram