KENYATAAN pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim bahawa Harimau Selatan bakal tampil sebagai pasukan 'underdog' pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan mungkin dianggap sekadar mahu merendah diri.
Menurut Tunku Ismail, JDT tidak akan melabur untuk mendapatkan khidmat pemain baharu ketika beberapa pasukan lain tampak begitu sibuk melakukan penambahbaikan dalam pasukan masing-masing bagi menghadapi kancah Liga M.
Namun, pengumuman terbaharu kelab dari Selatan itu seakan-akan memberi amaran kepada pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga M bahawa mereka akan terus membesarkan jarak dari segi kualiti dalam pasukan.
Menerusi media sosial rasmi JDT, TMJ mengumumkan bahawa Harimau Selatan bakal mendapatkan khidmat bekas pemain bola sepak Argentina, Estaban Solari yang kini melatih pasukan Argentina bawah 23 tahun sebagai pengendali mereka musim depan.
Susulan pelantikan Estaban jurulatih baharu tersebut, Hector dan Alistair turut dinaikkan pangkat. — Facebook/JDT
Langkah ini juga menyaksikan Hector Bidoglio bakal memainkan peranan selaku pengarah teknikal bola sepak JDT manakala Alistair Edwards pula diberi peranan lebih besar selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.
Perubahan ini juga dilakukan sejajar dengan misi pasukan yang mahu memantapkan lagi pembangunan bola sepak JDT untuk terus memberi saingan terbaik di pentas bola sepak Asia.
Bagaimanapun, di sebalik pengumuman adik kepada legenda Real Madrid, Santiago Solari itu, tumpuan peminat bola sepak tempatan lebih tertumpu pada raut wajahnya yang dikatakan menyerupai bintang terkenal Hollywood, Brad Pitt.
Penyokong JDT, Shahrudin MK berkata menerusi bahagian komen Facebook: "Dia ni ada kaitan dengan Brad Pitt ke? Muka seiraslah. Sekali pandang macam Brad Pitt," katanya.
Dam Dam menyambung:" Ini bukan adik Santiago ni, ini adik Brad Pitt."
"Sekali pandang macam Brad Pitt, dua kali pandang pun macam Brad Pitt juga," ujar Raihan Haikal.
Arjuna Hamdan turut mencelah: "Brad Pit versi bola sepak ni. Untung ada Brad Pitt duduk tepi padang."
Untuk rekod, pada musim ini JDT menyapu bersih semua trofi liga domestik iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super yang dipertahankan buat tahun kesembilan berturut-turut.
Terdahulu pada Rabu malam, Tunku Ismail bertitah, Solari yang kini pembantu jurulatih pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Argentina bersetuju untuk bersama-sama dengan JDT.
"Saya secara peribadi mengagumi dan telah mengenali beliau beberapa tahun. Beliau kini berada dalam skuad B-23 Tahun Argentina bersama Javier Mascherano.
"Beliau juga menerima tawaran daripada beberapa kelab seperti River Plate dan skuad remaja Argentina. Saya berjaya meyakinkan beliau untuk bersama kami bagi meneruskan projek pembangunan kelab JDT,” titah baginda dalam satu wawancara yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers pada Rabu malam.
Antara strategi bagi menghadapi saingan musim depan, Tunku Ismail bertitah, kelab itu juga akan membawa masuk tiga pemain import dalam usaha untuk memantapkan lagi barisan hadapan pasukan tersebut.
Baginda bertitah, perbincangan untuk membawa masuk seorang penyerang Brazil dan dua pemain Sepanyol kini sudah mencapai 80 peratus.
"Kami akan mendapatkan satu pemain tengah dari Sepanyol untuk ‘back up’ Leandro Velasquez.
"Kami juga akan mendapatkan khidmat pemain pertahanan kiri, juga dari Sepanyol, yang boleh bermain di beberapa posisi seperti sayap kiri, sayap kanan ataupun penyerang. Pada masa yang sama, seorang lagi penyerang dari Brazil,” titah Tunku Ismail.
Jelas Tunku Ismail, selain mendapatkan khidmat pemain import berkenaan, pihaknya juga akan mendapatkan seorang pemain tempatan selain menyenaraikan beberapa pemain muda yang dinaikkan pangkat daripada pasukan JDT II.
"Kita akan masukkan tiga atau empat pemain yang bermain di JDT II tahun ini ke pasukan utama JDT pada musim depan,” titah baginda.
Tunku Ismail menjelaskan, keutamaan JDT adalah untuk menilai seberapa jauh pasukan itu boleh mara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selain mengetengahkan pemain muda dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram