Tidak boleh salahkan jentera serangan Selangor — Tan Cheng Hoe


  • Podium
  • Selasa, 29 Nov 2022

Cheng Hoe bangga anak-anak buahnya di Selangor cepat serasi dengan corak kejurulatihannya. —Bernama

TAMATNYA kempen Piala Malaysia bererti berakhirnya tempoh 'uji kaji' yang diberikan oleh pengurusan Selangor FC kepada ketua jurulatih baharu mereka, Tan Cheng Hoe sebelum membentangkan perancangannya untuk musim depan.

Skuad kendalian Cheng Hoe mencipta kejutan apabila terus melakar kemenangan sehingga layak menjejakkan kaki ke pentas final biarpun tampil ke kejohanan sebagai pasukan bukan pilihan.

Pengendali berusia 54 tahun tersebut mengakui terkejut dengan kebolehan pemain-pemain Gergasi Merah untuk beradaptasi dengan corak permainannya dalam tempoh masa yang singkat.

Menurut anak jati Kedah itu, lumrah bagi orang ramai akan menyalahkan bahagian serangan sekiranya tewas dalam sesuatu perlawanan, namun dia tidak berfikiran begitu.

"Orang memang kata bahagian serangan Selangor FC perlukan penambahbaikan, tetapi saya lihat bola sepak ini secara keseluruhan. Tak boleh bila pasukan tak melakukan aksi terbaik atau tak menang, kita salahkan bahagian serangan.

Pasukan Selangor FC sebelum bermulanya Perlawanan Piala Malaysia 2022 Akhir ketika menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. —Bernama

"Kalau lihat karier saya sebagai jurulatih, saya jarang bermain secara bertahan. Sebenarnya, jika dilihat pada cara pasukan saya mampu menggasak di gawang JDT pada final Piala Malaysia, pada saya itu petanda baik," katanya pada Majoriti.

Ditanya mengenai pemindahan pemain pada musim depan, Cheng Hoe enggan mendedahkan perkara yang belum disahkan secara rasmi oleh pihak pengurusan Selangor FC.

Namun, dia mengakui sudah ada visi berkenaan barisan pemain musim depan dan berharap dapat melakukan empat atau lima perlawanan persahabatan sebelum memulakan aksi Liga Malaysia 2023 bermula.

"Memang ada perancangan sebelum musim bermula. Nanti kita akan adakan perbincangan dengan pengurusan sama ada kita perlu sekurang-kurangnya empat atau lima perlawanan persahabatan.

"Kita perlu tengok jadual 2023. Kalau ada peluang untuk lakukan perlawanan persahabatan dengan pasukan antarabangsa, itu sangat bagus sebagai satu pendedahan untuk pemain. Tetapi kalau tidak ada kesempatan, kita hanya bermain secara domestik," jelasnya.

Sebagai rekod, Cheng Hoe memulakan khidmat sebagai ketua jurulatih pasukan Selangor FC pada Oktober lalu dan dapat mengekalkan rekod tanpa kalah pada sepuluh perlawanan berturut-turut sebelum bertemu JDT pada final Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram