SECARA sedar atau tidak, segelintir ibu bapa membesarkan anak mereka sambil diselubungi penipuan. Meskipun melibatkan perkara kecil, namun konsepnya tetap sama dan dianggap sebagai menipu.
Situasi itu digambarkan apabila ibu bapa berusaha untuk mengelak atau melarang anak-anak daripada menginginkan sesuatu di premis jualan.
Pelbagai alasan pasti akan diberikan, salah satunya mengatakan barangan tersebut tidak dijual atau kedai tersebut sudah tutup.
Perbuatan ini secara tidak langsung mencerminkan pembohongan yang boleh mengakibatkan kepada berlakunya dosa besar.
Melihat kepada situasi itu, pendakwah bebas, Ustaz Suhail Sufian berkata, seorang Muslim perlu menyedari bahawa menipu adalah antara dosa besar yang tercela dalam Islam. Lawan sifat menipu ialah benar dan beriman.
Ini bererti, perlu ada dalam pemikiran seorang muslim untuk bercakap benar dalam semua keadaan, walaupun di dalam perkara yang dilihat remeh seperti memujuk anak-anak.
“Yang lebih besar dan benar di sini adalah untuk mendidik anak dengan bercakap benar dan menanggung kebenaran yang ada.
“Bercakap benar mengenai kedai tersebut yang dibuka dan menanggung sifat ‘meragam’ seperti menjerit, menangis atau berbaring di atas lantai jauh leibh baik daripada menipu kepada anak tersebut,” katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, jelas, Suhail, cuba didik dan asuh anak agar jangan terlalu dimanja atau memenuhi segala kehendak mereka seperti membeli mainan atau barangan tidak perlu.
Didikan terhadap kawalan emosi sejak kecil, katanya, dapat membantu anak-anak menjadi lebih matang dan bijak membuat pilihan dalam menentukan kehendak mereka.
“Anak yang lebih biasa tidak menerima apa yang diinginkan akan mematangkan anak dan menjadikan mereka lebih berjiwa besar.
“Itu lebih baik terhadap seorang anak yang biasa mendapat semua perkara. Perbezaan kedua-duanya amat jauh dalam aspek kematangan dan elemen berdikari yang amat penting dalam kehidupan dewasa,” ujarnya.
Suhail berkata, bercakap benar itu mempunyai nilai yang tinggi dalam pembentukan jiwa yang kuat dan sanggup memikul amanah kebenaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram