HANYA kerana ibu suka membebel dan mengamuk, tergamak anak-anaknya sendiri merantai leher wanita itu dan tinggalkan berseorangan di tengah-tengah hutan.
Sukarelawan yang menemui wanita berusia 50 tahun itu tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaannya yang serba daif, ditinggalkan sendirian di tengah-tengah hutan dengan keadaan terikat dengan rantai seperti seekor haiwan di Banten, Indonesia baru-baru ini.
Difahamkan, wanita bernama Ani itu mempunyai masalah kesihatan mental.
Menurut salah seorang anak wanita itu, Ismail, mereka sudah tidak sanggup menjaga ibu mereka kerana suka membebel dan mengamuk walaupun sudah berkali-kali memujuknya dengan cara baik, lapor Tribun Sumsel.com.
"Kalau tak buat macam ini, nanti habis semua harta benda dalam rumah rosak dibaling ibu kerana dia suka mengamuk," kata anaknya.
Malah Ismail mengakui dia terpaksa meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu mengikat ibunya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku kepada orang lain.
Ibunya ditinggalkan sendirian di hutan dalam keadaan terikat dengan rantai selama lima hari.
Ketika ditanya sukarelawan, ibunya hanya minum air hujan dan sering kehausan.
"Walau buruk macam mana sekalipun si ibu, perbuatan seperti ini sangat tidak wajar apatah lagi merantai lehernya seperti seekor haiwan," kata sukarelawan itu.
Wanita terbabit berjaya diselamatkan oleh sukarelawan yang dirawat di sebuah rumah penjagaan khas bagi memelihara dan merawat mangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram