Simpanan kewangan, bijak memilih 'senjata' berdepan peningkatan kos perubatan 


  • Sihat
  • Khamis, 01 Dis 2022

Tidak memiliki wang simpanan atau langganan insurans mahupun takaful antara bebanan berhadapan dengan krisis ekonomi pada 2023.

SATU kajian mendapati hampir separuh rakyat malaysia tidak mempunyai simpanan bagi penampung kos perubatan.

Perkara itu didedahkan oleh bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Julai lalu.

Pendedahan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Meskipun khidmat klinik kesihatan atau hospital kerajaan disediakan, namun kepadatan penduduk dan jumlah pesakit yang terlalu ramai menyebabkan sebilangannya terpaksa menunggu lama untuk mendapat rawatan.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, kos perubatan tidak hanya memberi kesan kepada kesihatan fizikal sahaja.

Katanya, penjagaan kesihatan mental khususnya pesakit seperti depresi dan anxiety turut memerlukan rawatan sewajarnya.

“Kos perubatan ini merangkumi warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, lelaki daripada semua peringkat usia dan melibatkan semua jenis penyakit.

“Disebabkan itu kerajaan menyediakan skim perlindungan mySalam diberikan terutama buat golongan B40. Langkah ini secara tidak langsung menjadi persediaan untuk berdepan dengan peningkatan kos kesihatan lebih-lebih lagi pada tahun hadapan,” terangnya kepada Majoriti.

Ahmed Razman menjelaskan ketika ditanya mengenai reaksinya terhadap cabaran kos perubatan terutama dalam keadaan ekonomi semasa.

Empty stomatology orthodontist hospital cabinet with nobody in it equipped with professional medical furniture. Teeth radiography images on monitor revealing tooth dental diagnosis

Pada masa sama, perkara itu lebih merungsingkan apabila negara dikhabarkan akan berdepan dengan kegawatan ekoran krisis ekonomi dunia pada 2023.

“Cabaran kos perubatan pekerja swasta yang bergantung kepada syarikat turut mempunyai had atau tahap maksimum rawatan.

“Meskipun syarikat menawarkan faedah perubatan, tetapi pekerja sendiri perlu memiliki insurans atau takaful sendiri sebagai persediaan.

“Langkah ini dapat membantu sekiranya terdapat penyakit atau kos rawatan yang sudah mencapai jumlah maksimum,” jelasnya.

Wajib ada simpanan

Disebabkan itu, masyarakat perlu memiliki simpanan jangka masa panjang sebagai persediaan berhadapan dengan situasi perbelanjaan luar jangka.

Pada masa sama, tidak dinafikan peningkatan ansuran insurans atau takuful turut menjadi salah satu beban kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Elderly female smiling with doctor and visiting senior patient woman at hospital ward

Situasi itu terutama melibatkan golongan warga emas yang kadar insurans mereka tinggi lebih-lebih lagi yang memiliki penyakit kronik.

“Terdapat dua perkara yang boleh dilakukan iaitu pertama semak produk kewangan yang diambil seperti insurans, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

“Kenal pasti adakah perkhidmatan ini menyediakan pelaburan simpanan yang boleh dikeluarkan sekiranya berlaku kecemasan.

“Langkah kedua pula ialah simpanan wang. Memiliki wang simpanan dapat membantu untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan dan keadaan tidak diduga,” katanya.

Secara kesimpulannya, pemilihan bijak terhadap produk kewangan dan memiliki simpanan antara yang dapat dilakukan bagi membantu berdepan dengan krisis ekonomi termasuk peningkatan kadar kos rawatan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu kesedaran terhadap penjagaan kesihatan juga penting, seperti amalan diet seimbang dan melakukan aktiviti fizikal. Sedikit sebanyak dapat membantu untuk menjimatkan kos rawatan.

Amalan berjimat cermat dan berbelanja mengikut keperluan juga perlu dilakukan bagi mengelakkan pembaziran atau lebihan belanja daripada pendapatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram