PERLAWANAN antara Portugal dan Uruguay bagi saingan Kumpulan H, Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail, pada Isnin dicemari dengan insiden penunjuk perasaan berlari memasuki padang dan mengibarkan bendera pelangi yang merupakan simbol LGBTQ.
Penunjuk perasaan itu juga memakai baju bertulis ‘Penghormatan untuk wanita Iran’ dan ‘’Selamatkan Ukraine’ sambil berlari masuk ke dalam padang sebelum dikeluarkan oleh petugas keselamatan.
Difahamkan, lelaki itu bertindak sebegitu kerana sebagai luahan perasaan tentang undang-undang mendiskriminasi komuniti songsang, LGBTQ di Qatar, perang di Ukraine dan demonstrasi hak wanita di Iran semasa Piala Dunia.
Selepas lelaki berkenaan diuruskan petugas keselamatan, pengadil kemudian mengutip bendera pelangi itu dan membuangnya.
Sepanjang minggu pertama Piala Dunia, penyokong dan wartawan dilarang masuk ke venue kerana memakai baju-T, topeng dan topi berwarna pelangi.
Penganjur Piala Dunia memohon maaf atas insiden tersebut dan memberi jaminan kepada penyokong bahawa pakaian dengan warna pelangi dibenarkan di venue namun tidak akan disiarkan.
Aksi pada Isnin itu adalah kali pertama warna berkenaan disiarkan dalam televisyen pada Piala Dunia Qatar.
Sebelum ini, FIFA menegaskan bahawa jika kapten pasukan memakai lilitan lengan 'One Love’, mereka akan dilayangkan kad kuning pada awal perlawanan, selain pemain dan persekutuan terbabit dikenakan denda dari segi kewangan
Dalam pada itu, aksi Kumpulan H itu berakhir dengan keputusan Portugal menewaskan 2-0 ke atas Uruguay, hasil jaringan dari pemain Manchester United, Bruno Fernandes.
Keputusan itu juga melayakkan Portugal ke peringkat kalah mati Piala Dunia bersama Perancis dan Brazil. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram