Selepas tonggak JDT-Sri Pahang, 2 bintang KL City turut tinggalkan kem Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 29 Nov 2022

Declan (kanan) dan rakan sepasukannya, Akram gagal melaporkan diri ke kem latihan Harimau Malaya pada Selasa.

PERSIAPAN Harimau Malaya menjelang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nampaknya sedikit terjejas apabila dua daripada 30 pemain yang disenaraikan tidak dapat menyertai latihan.

Kedua-dua pemain berkenaan adalah pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Declan Lambert.

Dalam satu kenyataan bertulis dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa menyatakan bahawa kedua tonggak The City Boys itu tidak melaporkan diri ke kem latihan selepas mendapat pelepasan kerana urusan peribadi.

“Dua pemain iaitu Akram Mahinan dan Declan Lambert tidak melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, hari ini (Selasa) selepas kedua-dua mereka meminta pelepasan kerana urusan peribadi.

“FAM telah menerima surat maklumat daripada majikan mereka iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC yang menyatakan bahawa kedua-dua pemain tersebut tidak dapat bersama skuad Harimau Malaya bagi persiapan menjelang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022,” jelas FAM pada Selasa.

Dengan ketiadaan kedua pemain itu, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 28 pemain lain termasuk seorang pemain dari Senarai Bersedia iaitu Fazly Mazlan yang juga pertahanan kiri Selangor FC.

Pada Jumaat lalu, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memanggil Fazly Mazlan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Setakat ini, seramai 17 orang pemain berjaya melapor diri manakala 11 orang lagi akan menyertai pasukan Harimau Malaya secara berperingkat.

“Seramai 17 pemain telah melapor diri, hari ini manakala baki 11 pemain akan menyertai pasukan secara berperingkat iaitu tujuh pemain Selangor FC dan dua pemain Johor Darul Takzim (JDT) pada 5 Disember 2022.

“Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim pada 6 Disember 2022 selepas selesai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan dan pemain FK Jablonec, Dion Cools pada 16 Disember 2022,” tambah FAM.

Sebelum ini, 11 pemain dari Johor Darul Takzim dan seorang pemain dari Sri Pahang turut tidak dapat menyertai kem latihan tersebut atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga serta masalah kecederaan.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram