'Mickey' tahu tugas lebih penting daripada lilitan kapten Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 30 Nov 2022

Faisal Halim dipilih untuk menjadi kapten skuad bola sepak kebangsaan untuk harungi Piala AFF 2022.

PEMAIN sayap Terengganu FC, Mohd Faisal Halim menyifatkan pemilihan selaku kapten skuad Harimau Malaya bagi kempen Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bukan sesuatu yang perlukan dibanggakan.

Sebaliknya, Mohd Faisal berkata, tugas kapten tidak sempurna jika gagal memainkan peranan menyampaikan kehendak ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon selain menjadi perantara kepada pemain.

"Tidak semestinya lilitan di tangan, apa yang penting saya dapat bantu jurulatih serta menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan bagi sebarang perkara yang mereka perlukan," katanya pada sesi latihan kedua kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selangor pada Rabu.

Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan memaklumkan, Mohd Faisal turut dikenali sebagai ‘Mickey’ dan tonggak utama Selangor FC, Brendan Gan diumum Pan-gon sebagai kapten, bersama-sama Dion Cools dan Safawi Rasid.

Jika diikutkan atas kertas, 29 pemain dipanggil pada sesi latihan pusat kali ini berbeza dengan apa yang dipamerkan selepas skuad itu layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada Jun lepas, namun Mohd Faisal optimis keputusan memberangsangkan dapat diraih pada Piala AFF nanti.

"Jangkaan peminat memang tinggi terhadap pasukan kita sebelum ini sebab kita dah berjaya buat yang terbaik. Sekarang senarai pemain sudah berubah yang selalu ada kini sudah tiada dalam senarai.

"Jadi kita doa yang terbaik pada sesiapa yang jurulatih beri peluang untuk lakukan yang terbaik dan jangan takut dengan kritikan. Percayalah kalau pemain dapat lakukan apa yang jurulatih mahukan keputusan yang baik dapat dicapai," katanya.

Malaysia akan terlibat dengan perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 9 Disember depan depan dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada 14 Disember sebelum memulakan cabaran pada saingan Piala AFF dari 20 Disember hingga 16 Januari tahun depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram