BERBAKI beberapa hari sebelum musim perpindahan Liga Malaysia (Liga M) dibuka semula, sudah pasti kebanyakan kelab mengakhiri persiapan untuk membina benteng baharu.
Pada masa sama, setiap pemain tentu sudah membuat keputusan sama ada untuk kekal dalam pasukan sama atau sebaliknya.
Tidak terkecuali, Nor Azam Azih turut terpalit dengan khabar angin mengatakan bahawa dia bakal melakukan perpindahan ke pasukan Terengganu FC, Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT).
Namun, difahamkan, pemain tengah Sri Pahang FC itu akan terus kekal dalam skuad Tok Gajah musim depan.
Ura-ura juga memaklumkan bahawa, pemain berusia 27 tahun itu bakal menerima tawaran untuk melanjutkan kontrak bersama Sri Pahang FC selepas beraksi dengan baik musim ini.
Bagaimanapun, segala keputusan pastinya terletak di tangan anak jati Pahang itu untuk menentukan hala tuju kariernya.
Berikut merupakan sebab Azam perlu kekal bersama Sri Pahang FC musim depan:
1) Kehadiran Ketua Jurulatih baharu
Kehadiran Dollah Salleh dilihat mampu memberi keselesaan kepada Azam.
Kehadiran Ketua Jurulatih sementara, Datuk Dollah Salleh sedikit sebanyak mampu memberi keselesaan kepada Azam selepas kedua-dua pihak pernah bekerjasama sebelum ini.
Tetapi, dengan Sri Pahang dilihat kurang memberangsangkan musim ini, dia dijangka tidak akan dikekalkan lalu memaksa pihak pengurusan untuk mencari pengganti.
Penyertaan pengendali baharu pasti memberi pengalaman dan pengetahuan baharu buat Azam, sekali gus membantu menaikkan lagi kebolehannya secara peribadi dan berpasukan.
2) Wajah-wajah baharu
Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa pemain Selangor, Shahrel Fikri dan pemain JDT, Fadhli Shas bakal melakukan perpindahan ke skuad Tok Gajah pada musim depan.
Kehadiran wajah-wajah baharu ini sudah semestinya akan memberi suasana baharu buat skuad itu.
Shahrel merupakan penjaring terbanyak dalam Liga Super 2020.
Apatah lagi, pencapaian Shahrel dalam Liga Super 2020 sebagai penjaring terbanyak sudah tentu mampu meyakinkan Pahang bagi memperkuat jentera serangan Tok Gajah musim depan.
Fadhli berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan.
Selain itu, kehadiran Fadhli tidak kurang hebatnya apabila dia dilihat mempunyai pengalaman luas dalam liga tempatan yang juga mampu menambah baik kualiti benteng pertahanan Tok Gajah.
Faktor itu dijangka bakal memberi sebab untuk Azam kekal untuk sekurang-kurangnya semusim lagi, bagi memburu kejuaraan bersama pasukan tersebut.
3) Masa permainan terjamin
Masa permainan Azam terjamin sekiranya kekal bersama Pahang.
Selain Azam, tiada pemain tengah lain dilihat konsisten bersama Sri Pahang FC buat beberapa musim kebelakangan ini.
Dengan mengekalkan Azam dalam skuad itu, minit permainannya lebih terjamin, yang mana dia tidak perlu berebut dengan pemain lain sekiranya melakukan perpindahan ke pasukan lain.
Musim ini, Azam memperoleh sebanyak 2,085 minit permainan dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
4) Kotakan janji
Tangkap layar Insta Story Sri Pahang FC mengenai Azam yang akan kekal dengan pasukan Tok Gajah. — Instagram
Pada pertengahan Jun lalu, Azam menerusi InstaStory Sri Pahang FC menegaskan: "Jiwa aku hanya untuk Sri Pahang".
Kata-kata ringkas pemain tengah Harimau Malaya pada ketika itu memberi harapan buat penyokong bahawa dia akan terus kekal bersama skuad Tok Gajah.
Sebelum ini, dia dilapor melakukan perjanjian dengan arwah bapanya untuk kekal bersama negeri kelahirannya itu sepanjang karier, yang mana sudah tertunai setakat ini.
5) Kehadiran semula penyokong di stadium
Penyokong Pahang hadir memenuhi stadium. — Facebook Sri Pahang FC
Penampilan Azam sangat diperlukan dalam Sri Pahang, apabila dia dilihat bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan.
Pada musim ini, Azam menyumbang sebanyak 3 gol dan 4 bantuan gol dalam 24 kesemua perlawanan.
Semangat ditunjukkan ayam tambatan itu ketika beraksi di atas padang, sekali gus menyaksikan peminat terus memberi sokongan padu.
Perkara ini dilihat ketika penyokong Tok Gajah membanjiri stadium, terutamanya ketika perlawanan Pahang menentang Terengganu dalam aksi Piala Malaysia baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram