'Macam hero Tamil', penyokong label import JDT gara-gara kerap berlakon di padang


  • Podium
  • Isnin, 28 Nov 2022

JDT mencatatkan sejarah tersendiri apabila memungut hampir kesemua kejohanan yang dipertandingkan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEMENANGAN Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Selangor FC dalam pentas akhir Piala Malaysia menyimpulkan satu musim yang bersejarah buat pasukan Selatan tanah air itu.

Setelah menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA, skuad Harimau Selatan tampil dengan semangat yang berbeza untuk memenangi Piala Malaysia buat kali ketiga.

Perkara itu pasti menggembirakan penyokong yang tidak henti-henti memberi sorakan kepada pasukan dalam membakar semangat serta menjatuhkan moral pihak lawan.

Bagi mereka, pujian harus diberikan kepada ketua jurulatih, Hector Bidoglio yang berjaya menerapkan ideologi dan taktikal sesuai dengan keupayaan pasukan.

Namun, majoriti daripada peminat setia Harimau Selatan juga tidak henti-henti menjulang nama pemain yang kerap memberi khidmat terbaik setiap kali turun beraksi.

Penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva dan pemain sayap muda, Arif Aiman Hanapi sering diberikan pujian melambung apabila sumbangan mereka sering menjadi asas kepada kejayaan pasukan.

Selain itu, ada juga yang melihat keazaman benteng pertahanan, termasuk Corbin Ong dan Shahrul Saad wajar disanjung dengan mereka kerap menggagalkan serangan lawan.

314161002_2443145449182073_2411480342991569194_n

Benarkah tuduhan yang dilemparkan kepada Leandro itu? Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, di sebalik kejayaan JDT musim ini, terdapat satu watak penting di atas padang yang kerap memberi bantuan kepada jentera serangan mahupun pertahanan pasukan.

Pemain kelahiran Argentina, Leandro Velazquez kerap dibayangi rakan sepasukan apabila sumbangannya di hadapan pintu gol tidaklah begitu membanggakan.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menyekat sokongan padu daripada orang ramai yang sering tertunggu-tunggu sentuhan magis pemain berusia 33 tahun itu dengan hantaran tepat serta teknik menggelecek mengiurkan.

Hal itu dibuktikan apabila Leandro mencatatkan tujuh gol dalam semua kejohanan dengan lima daripadanya dijaringkan dalam 18 penampilan Liga Super.

Namun, di sebalik kecemerlangannya buat pasukan, pemain itu juga terkenal dengan reputasi kurang menyenangkan apabila terlalu mudah merebahkan badan ketika dicabar pihak lawan.

Meskipun kelakuan itu dikatakan sebagai taktik licik untuk mengganggu emosi pertahanan lawan, ia sering menjejaskan tempo dan momentum yang direncanakan pasukan.

Perkara tersebut diluahkan di media sosial dengan penyokong bola sepak tempatan, Ahmad Sanyut kerap berasa kurang senang setiap kali Leandro diturunkan.

"Meluat tengok pemain ini (Leandro) bermain sebab setiap kali dia menjatuhkan pemain, kerap terlepas daripada layangan kad. Tetapi, jika lawan sentuh dia sikit, mulalah mengerang kesakitan," katanya.

Bagi Syah Mal pula, dia turut berkongsi pendapat yang sama sehingga melabel bekas pemain skuad belia Argentina itu seakan-akan tidak menunjukkan semangat kesukanan.

"Orang main bola dengan skill, bukan dengan taktik-taktik kotor semata-mata untuk mendapatkan mata dan kemenangan. Kalau macam tu, tak profesional namanya," katanya.

Leandro dijangka bakal meneruskan kariernya bersama skuad Harimau Selatan dengan khabar angin menyebut kontrak lanjutan akan ditawarkan selepas beberapa musim yang konsisten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram