Hasrat bergelar raja sehari atau tawaran kelab lain punca nama Safawi hilang dari senarai JDT?


  • Podium
  • Ahad, 27 Nov 2022

Kehilangan Safawi semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 menjadi persoalan dalam kalangan penyokong. — Facebook/JDT

DI sebalik kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) melakar kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC pada aksi final di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu, kelibat Safawi Rasid yang tidak kelihatan menjadi tanda tanya.

Sebelum perlawanan yang menyaksikan JDT dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2022 itu, nama pemain kelahiran Terengganu tersebut tidak disenaraikan dalam skuad Harimau Selatan bagi menghadapi perlawanan penting berkenaan.

Kehilangan pemain sayap itu menjadi persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air sehingga ada yang mendakwa Safawi sudah menerima tawaran daripada kelab lain.

Masakan tidak, sebelum ini khabar angin berkenaan penghijrahan pemain kebangsaan itu hangat diperkatakan dan antara pasukan yang dikatakan akan memburu khidmatnya ialah Terengganu FC serta Selangor FC.

Minit permainan yang kurang dan ingin mengembalikan potensinya dikatakan menjadi sebab jika pemain berusia 25 tahun itu ingin berhijrah ke pasukan lain.

Screenshot 2022-11-27 at 4.16.27 PM

Kad undangan Safawi dan pasangan tersebar di media sosial. — Facebook

Namun begitu, selain mendapat tawaran daripada kelab lain, ada pihak mendakwa kehilangan Safawi dalam senarai pemain JDT juga disebabkan dia dalam persiapan untuk melangsungkan resepsi perkahwinan.

Spekulasi itu hadir selepas kad undangan perkahwinan Safawi dan pasangannya iaitu pelakon, Syifa Melvin tersebar di media sosial.

Berdasarkan kad undangan tersebut, pasangan sama cantik sama pada itu akan diraikan di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun, Terengganu pada 3 Disember 2022.

Safawi sendiri hanya memuat naik video di laman TikTok miliknya yang mengatakan ‘ada rezeki, jodoh, saya akan kahwin. Anda jangan risau, nantikan sahaja’.

Screenshot 2022-11-27 at 4.23.04 PM 1

Safawi dan Syifa sebelum ini pernah dikatakan telah berpisah dari menjaling hubungan istimewa.

Misteri kehilangan Safawi pada pentas akhir Piala Malaysia itu mendapat pelbagai respons daripada penyokongnya dan tidak kurang juga ada yang merestuinya jika menyarung jersi pasukan lain pada musim depan.

“Patut macam ada yang kurang. Tengah bincang hargalah itu dengan pasukan lain,” komen penyokong, Pomen Jam.

“Cuti beli barang kahwinlah itu,” tulis penyokong, Jai rJuNa.

“Nasib baiklah tidak main malam tadi,” luah penyokong, Encik Zul.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan daripada kedua-dua pihak mengenai perkahwinan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram