KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melepaskan 12 pemain daripada menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 dan Piala AFF 2022 menimbulkan rasa curiga penyokong bola tempatan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, sebelas pemain terbabit daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan seorang dari Sri Pahang FC (SPFC).
Antara nama-nama pemain JDT tersenarai adalah Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa.
Manakala pemain SFC yang tidak dapat menyahut panggilan misi negara ialah Nor Azam Azih dari pasukan Sri Pahang FC.
Tambah kenyataan itu lagi, 12 orang pemain ini tidak dapat tampil menyarung jersi Harimau Malaya susulan daripada urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.
Kenyataan media FAM.
Namun, bagi pemerhati sukan negara, Zuraimi Zukri, perubahan pendirian itu sangat mendadak setelah arahan berbeza diberikan kepada pemain pasukan lain pada Mei lalu.
"Dulu masa Kelantan tengah top, kalau FAM call up pemain, apa alasan pun kena datang. Kalau sakit kena bawa sijil cuti sakit (MC).
"Badhri Radzi cakap dari Kota Bharu, dia cedera dan ada surat. FAM cakap dia kena datang KL juga, bawa sijil tu.
"Lepas tu ada satu tempoh, setiausaha agung FAM pernah keluarkan kenyataan, "Kalau sakit sampai bertongkat pun kena datang dulu.""
"Sekarang senang. Ada hal keluarga atau peribadi terus boleh excuse. Bukan seorang, tapi 12 orang. FAM tak nak pakai ke pendirian dulu-dulu tu?," ujarnya menerusi laman Facebook.
Keratan laporan yang dikongsi Zuraimi di laman Facebook.
Jelas Zuraimi, situasi itu bertambah mencurigakan kerana sejumlah besar pemain yang tidak dapat hadir adalah dari pasukan Harimau Selatan.
Biarpun tahu bahawa kejohanan ini sekadar persahabatan, namun menurut pemuda tersebut, pendirian harus dikekalkan bagi menghormati penganjur.
"Ke takut? Takut siapa? Takut Sanusi ke? Saya rasa, tahun 2025 lagi senang. Kucing nak beranak pun dah boleh excuse.
"Tunjuk je surat MC dari doktor haiwan melalui whatssapp. Ya betul, AFF bukan dalam kalendar FIFA tapi kaedah berkawan jaga hati dan kejohanan kawan-kawan.
"Kita buka level dunia nak berlagak hebat. Kat Asia pun masih lagi belasahan," tulisnya lagi.
Harimau Malaya dijadualkan untuk berdepan Kemboja pada pada 9 Disember depan sebelum bertemu Maldives lima hari kemudian.
Senarai akhir 23 pemain yang akan dibawa ke kejohanan AFF akan diumumkan pengendali dari Korea Selatan berkenaan selepas dua aksi tersebut.
Malaysia akan memulakan kempen Piala AFF dengan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember ini sebelum mencongak perhitungan dengan Laos, Vietnam dan Singapura dalam saingan Kumpulan B. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram