Selepas buru Sony Norde, pemenang Kasut Emas Liga M pula dalam radar TFC


  • Podium
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Ifedayo (empat dari kanan) dikhabarkan akan mengikut jejak langkan rakannya, Sony ke TFC. — Instagram Ifedayo

TERENGGANU FC (TFC) dilaporkan akan berwajah baharu pada musim depan selepas tonggak utama skuad Penyu Faisal Halim dan beberapa pemain lain disahkan meninggalkan pasukan berkenaan sebaik tirai musim ini berakhir.

Ketiadaan pemain lincah itu dikatakan akan diisi oleh bekas kapten Melaka FC, Sony Norde yang difahamkan sudah menandatangani kontrak bersama kelab Pantai Timur itu.

Desas-desus berkaitan penghijrahan Sony ke Terengganu juga dikukuhkan selepas satu gambar tular pemain berusia 33 tahun itu dilihat bersama pihak pengurusan TFC di sebuah restoran pada Khamis.

kedai

Gambar tular yang dikongsikan penyokong di media sosial. — Facebook

Bukan hanya dalam proses mendapatkan pemain antarabangsa Haiti itu, malah pihak TFC juga dikatakan sedang memburu pemenang Kasut Emas Liga Super 2020 dan 2021, Ifedayo Olusegun.

Ifedayo yang bakal tamat kontrak bersama pasukan Hang Tuah pada penghujung November ini sememangnya menjadi buruan pasukan Liga M termasuk Terengganu.

Kebolehannya dalam mencetak gol tidak perlu dipersoalkan lagi apabila penyerang berbisa itu berjaya meletak 26 jaringan bersama Selangor dalam saingan Liga Super pada musim lalu.

Bersama Melaka pula, pemain berusia 31 tahun itu berjaya meledak sebanyak tujuh jaringan, dua hantaran bantuan dalam 15 penampilan Liga Super.

Jika benar ura-ura Ifedayo ke TFC, pemain itu dapat menggantikan posisi Kpah Sherman yang difahamkan berada dalam radar pasukan lamanya, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang.

WhatsApp Image 2022-11-25 at 1.14.16 PM

Ifedayo meraih Kasut Emas bagi musim kedua berturut-turut pada 2021 dan 2022. — Instagram Ifedayo

Khabar angin yang mengaitkan pemain kelahiran Nigeria itu bersama Terengganu apabila seorang penyokong TFC, Terengganu berkongsi di ruangan komen hantaran akaun TikTok, Terengganu11.

“Mahdi (Al Mardi) Ifedayo dalam perjalanan, saya kerja di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT),” komennya.

Menurut pengguna akaun Terengganu itu, bukan hanya Ifedayo dalam perjalanan ke kelab berpangkalan di Pantai Timur tersebut, malah pemain kebangsaan Jordan, Mahmoud Al-Mardi turut berada dalam radar TFC.

Pasukan Sang Kenari difahamkan tidak akan menyambung kontrak Al Mardi untuk saingan musim depan dan selain TFC, pemain sayap itu juga sedang diburu PDRM FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram