MESKIPUN tirai Liga Malaysia (Liga M) 2022 belum berakhir, namun sudah banyak pasukan yang mulai merekrut pemain baharu bagi saingan tahun depan.
Bermula dengan skuad Perak FC yang mula menandatangani pemain baharu seawal Oktober lalu sehingga ke pasukan lain seperti Terengganu FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC dan tidak terkecuali kelab elit Johor Darul Takzim (JDT).
Turut tidak ketinggalan adalah pasukan berpangkalan di Borneo, Sabah FC yang dikhabarkan sedang aktif membawa masuk pemaim baharu bagi memperkukuhkan lagi The Rhinos musim depan.
Sebelum ini dilaporkan pasukan Sabah FC sudah berjaya menyambar penyerang kebangsaan, Darren Lok dan mereka juga dikatakan berhasil menandatangani pertahanan kental Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria.
Selain dua nama pemain itu, timbul lagi khabar angin mengatakan skuad di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu akan membawa masuk tonggak pertahanan dari Sri Pahang, Nicholas Swirad.
Bekas pemain kelab Thailand, Nongbua Pitchaya itu mulai beraksi sebagai bek tengah utama bersama skuad Tok Gajah pada musim 2021 dan sejak itu, Swirad mulai mendapat tempat sebagai kesebalasan utama pasukan berkenaan.
Musim ini, pemain kacukan Malaysia-England itu membuat banyak 20 penampilan bersama Sri Pahang bagi saingan Liga Super.
Swirad bersama rakan pasukan di Nongbua Pitchaya. — Instagram/Swirad
Pemain berusia 31 tahun itu dijangka akan menguatkan lagi benteng pertahanan Sabah FC yang dibarisi Dominic Tan, Rawilson Batuil serta Jackson de Souza.
Cuma, walaupun Swirad mempunyai rekod yang baik bersama Sri Pahang dan pasukannya sebelum ini, terdapat juga beberapa penyokong The Rhinos yang tidak menerima baik kedatangannya ke Sabah FC.
Hal ini kerana, sesetengah penyokong berpendapat bahawa lebih baik membawa masuk bintang import baharu daripada merekrut pemain yang tidak memiliki keputusan cemerlang bersama pasukannya sebelum ini.
Mana tidaknya, perjalanan Sri Pahang di Liga M musim ini terhenti selepas tewas di tangan TFC pada aksi pusingan 16 Piala Malaysia.
Swirad mulai menyarung jersi Sri Pahang pada musim 2021. — Instagram/Swirad
Musim 2022 juga merupakan tahun yang muram buat skuad itu apabila sekadar menduduki tangga ketujuh Liga Super dan mara ke peringkat suku akhir Piala FA
“Ambil import baru luar, buat apa ambil dari pemain pasukan lain.. kalau mereka bagus sudah tentu pasukan mereka masuk final dan juara.. tidak usah ambil mereka,” komen penyokong Sabah FC, Baharuddin Kasim.
“Ambillah dari luar negara,” kata penyokong The Rhinos, Mando Lolieta.
Bagaimanapun, setakat ini pihak Sabah FC masih belum mengesahkan mengenai khabar angin kemasukan Swirad ke dalam skuad The Rhinos, sekali gus kekal meninggalkan tanda tanya dalam kalangan peminat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram