Antara Terengganu atau KL City, Jordan Mintah akhirnya bersuara jawab spekulasi


  • Podium
  • Isnin, 28 Nov 2022

Mintah berjaya memperolehi satu gol ketika beraksi dalam kempen Piala AFC bersama KL City FC. — Facebook/KL City FC

PENYERANG import kelahiran Ghana, Jordan Mintah mula menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan selepas membuktikan kebolehannya ketika menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC secara pinjaman musim ini.

Selepas kurang diberi peluang ketika bersama majikan asalnya, Terengganu FC, pemain tersebut mengambil keputusan untuk menyertai skuad Warga Kota ketika jendela perpindahan kedua Jun lalu.

Langkah itu dilihat serba sedikit membantu memulihkan semula kariernya, lebih-lebih lagi apabila berjaya menjaringkan satu gol ketika final Zon ASEAN Piala AFC 2022 menentang PSM Makassar.

Selain itu, dalam kempen Liga Super, pemain bertubuh sasa itu juga berjaya menyumbang gol-gol penting, antaranya jaringan kemenangan ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila persoalan mula bermain dalam minda penyokong Terengganu FC dan KL City FC mengenai masa depan Mintah dengan kedua-dua mereka seakan-akan sedang bertarik-tali untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagi skuad Sang Penyu, berita pemergian duo import serangan, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman pasti sukar untuk diterima sekiranya tiada pengganti yang berkaliber.

Jadi, salah satu penyerang yang boleh mengisi kekosongan itu ialah Mintah dengan dia berjaya menyerlahkan kebolehannya selain mencipta keserasian ketika bersama Terengganu FC II.

WhatsApp Image 2022-11-28 at 17.44.07

Mintah menegaskan bahawa dia masih mempunyai kontrak bersama Terengganu FC. Facebook/Terengganu FC

Hal itu turut dirasakan penyokong Warga Kota dengan pemain berusia 27 tahun tersebut membentuk gandingan serasi bersama Paulo Josue dan Romel Morales beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Namun, ketika ditanya mengenai masa depan dalam kariernya, Mintah berkata, dia masih belum mengenal pasti hala tuju apabila kontraknya masih berbaki bersama pasukan Pantai Timur itu.

"Saya masih di bawah kontrak bersama Terengganu, jadi saya masih tidak tahu lagi. Jadi, saya perlu tunggu kerana saya perlu menghormati kontrak bersama pasukan," katanya kepada Majoriti.

Mintah dijangka akan menjadi watak penting buat skuad Sang Penyu musim depan yang dijangka akan melakukan rombakan bagi menggantikan beberapa pemain berusia.

Di samping itu, kejayaan Terengganu FC layak ke Piala AFC musim depan pastinya mendambakan sumbangan yang lebih daripada para pemain dalam setiap perlawanan.

IMG-20220426-WA0005

Penyerang kelahiran Ghana itu memperolehi gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana 2021. Facebook/Terengganu FC

Dalam masa sama, pemain tersebut juga dijangka akan terus kekal di tanah air selepas berasa cukup selesa dengan persekitaran sepanjang dua tahun beraksi dalam Liga Malaysia.

"Saya rasa, masyarakat di negara ini sangat baik dan cukup ramah terhadap saya," katanya ringkas.

Musim lalu, pemain tersebut mencuri perhatian ramai selepas memenangi gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana apabila menjaringkan 16 gol daripada 15 perlawanan.

Pencapaian itu pada mulanya dijangka akan membawa Mintah ke dalam skuad utama, namun ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain sebaliknya meletakkan kepercayaan di bahu Kipre dan Sherman sepanjang musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram