'Gaji dah bayar, bolos makin banyak', penyokong Sarawak bengang diaibkan KL City


  • Podium
  • Khamis, 29 Sep 2022

Antara aksi Sarawak United menentang KL City FC pada Rabu. — Facebook/MFL

TEWAS di tangan Penang FC pada Sabtu lalu menaikkan lagi semangat Kuala Lumpur (KL) City FC untuk membenam Sarawak United FC (SUFC) 5-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Pesta gol tuan rumah bermula dengan gol pendahuluan dijaringkan menerusi Paulo Josue dan jaringan hatrik dari pemain tengah Ryan Lambert terus jauh meninggalkan skuad Kenyalang Emas.

Penyokong tuan rumah terus diberikan kegembiraan apabila pemain import, Jordan Mintah menghadiahkan satu jaringan buat skuad Warga Kota pada minit ke-86.

RYAN

Ryan melakar hatrik untuk KL City FC. — Facebook/MFL

Kekalahan kali ke-13 itu membuatkan penyokong semakin panas hati dengan skuad di bawah kendalian S. Balachandran sehingga mereka mempersoalkan mengenai gaji yang sudah dilunaskan oleh pihak pengurusan.

“Gaji dah bayar...bolos semakin banyak..memang macam itu ke..kembalikan semangat Sarawak,” kata penyokong, Fardeal Casagrande.

“Isu gaji dah selesai, tapi ada pemain yang masih malas. Hanya tunggu bola sampai di kaki, dah tak dapat berlari. Kalau malas berlari, jangan main bola sepak,” komen penyokong SUFC, Terabai Sarawak Terabai Sarawak.

“Dah bayar gaji tapi makin teruk kalah ini,” tulis penyokong, Gdan Here.

Jika sebelum ini, prestasi kurang cemerlang pemain SUFC difahamkan kerana pihak pengurusan tidak membayar gaji beberapa pemain selama empat bulan.

SARAWAK

Antara aksi perlawanan SUFC menentang skuad Warga Kota. — Facebook/MFL

Bagaimanapun, prestasi pemain skuad Kenyalang Emas masih kekal sama meskipun pihak SUFC sudah menyelesaikan masalah tunggakan gaji membabitkan barisan pemain skuad itu.

Keputusan tersebut menyaksikan Sarawak United kekal berada di tangga ke-11 Liga Super dengan mengumpul 14 mata.

Sarawak United masih berpeluang membaiki kedudukannya dalam tiga perlawanan terakhir yang dijadualkan akan menentang Sri Pahang FC (1 Oktober), Selangor FC (11 Oktober) dan melayan kunjungan Melaka United pada 15 Oktober 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram