PERTAHANAN Manchester United, Lisandro Martinez bersedia untuk membuat penampilan pertamanya di kempen Piala Dunia - ketika Argentina pastinya menagih sentuhan bintang Liga Perdana Inggeris itu untuk kekal di Qatar bagi kejohanan berprestij tersebut.
Penyokong negara di benua Amerika Selatan itu masih menerima tamparan hebat selepas skuad Albiceleste tewas dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Arab Saudi. Argentina bakal menghadapi pertembungan dengan Mexico pada Sabtu.
Pengurus skuad antarabangsa Argentina, Lionel Scaloni bersedia untuk membawa Martinez dalam kesebelasan utama bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukannya.
Martinez dijangka menggantikan tonggak pertahanan Tottenham, Christian Romero selepas Arab Saudi mengejutkan Argentina dengan dua gol dalam masa lima minit di Stadium Lusail, Qatar pada Selasa.
Martinez akan dipanggil semula menyertai kesebelasan utama Argentina. — Agensi
Scaloni kini dijangka membuat perubahan dengan meletakkan pemain The Red Devil bernilai £56.7 juta (RM306.21 juta) itu bagi menghadapi pertembungan penting dengan Mexico.
Persoalan timbul tentang mengapa Martinez diketepikan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 meskipun pemain berusia 24 tahun itu menunjukkan permulaan yang baik di Old Trafford.
Begitupun, melihat ke depan, dia bakal bergandingan dengan dengan bekas pemain pertahanan Manchester City, Nicolas Otamendi di pertahanan tengah yang turut menyaksikan perubahan lain mungkin akan dibuat oleh Scaloni.
Alvarez juga berada dalam kerangka taktikal Scaloni untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Argentina. — Agensi
Penyerang muda Manchester City, Julian Alvarez yang berusia 22 tahun juga berada dalam kerangka taktikal Scaloni untuk diturunkan dalam skuad utama selepas masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan pembukaan.
Alvarez menjaringkan tujuh gol bersama The Citizens selepas tiba dari Rivar Plate menerusi perjanjian bernilai £21 juta (RM113.38 juta).
Menjelang pertemuan dengan Mexico, pemain tengah Argentina, Alejandro Papu Gomez menggesa penyokong untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan.
Gomez di media sosialnya menulis, "Jalan yang sukar membawa ke destinasi yang indah." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram