'Sign defend' TFC, taktikal 'lain macam' Teong Kim jadi bualan fans Perak FC


  • Podium
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Hafizal banyak mendapat minit bersama TFC sebagai pemain gantian dalam aksi di Liga Super dan saingan Piala Malaysia. — Facebook

DUA pertahanan Perak FC sudah diumumkan oleh laman rasmi Perak Football Club setakat ini sekali gus menjawab khabar angin berhubung perpindahan pemain ke kelab elit itu.

Setakat ini, The Bos Gaurus mengumumkan nama bekas pemain Sarawak United FC, Raja Imran Shah dan Ahmad Haziq Puad (bekas pemain Melaka United FC) serta yang terbaharu Hafizal Alias (Terengganu FC).

Penyertaan Hafizal antara lain melengkapkan kubu pasukan The Bos Gaurus bagi menghadapi saingan di divisyen teratas Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Ketiga-tiga pemain berfizikal tinggi lampai itu dilihat sebagai percaturan ketua jurulatih, Lim Teong Kim untuk memperkuatkan barisan pertahanan bagi menyekat lawan daripada menjaringkan gol menerusi tandukan.

Jika diilihat, Raja Imran Shah memiliki ketinggian 1.81 meter (m) manakala Ahmad Haziq yang merupakan antara watak utama dalam pasukan Melaka United sepanjang aksi musim ini di Liga Super berketinggian 1.8m.

Hafizal pula mempunyai ketinggian 1.76m yang sekali gus menyaksikan kelebihan fizikal tersebut mampu memberi masalah kepada pasukan lawan terutama dalam perebutan bola tinggi.

WhatsApp Image 2022-11-24 at 22.46.17

Perak FC menandatangani Hafizal untuk musim 2023. — Instagram

Perkara itu turut dipersetujui penyokong Perak FC yang berasakan mereka akan membentuk benteng bagi membantu posisi penjaga gol menangkis serangan daripada peledak pasukan lawan.

Hamdan Ramlie berkata, pemain pertahanan yang tinggi mampu memberi saingan kepada penyerang import.

"Defend tinggi...macam ini baru pemikiran coach tahap international, nak bersaing dengan striker import kena la defend besar-besar, ini defend kecil 'kemetot', celah mana nak bersaingnya," katanya di laman Info Bolasepak Perak.

"Dalam diam buat kerja...memang LTK (Teong Kim) cari pemain yang ada saiz," kata Shaz Rin pula.

ThePuntum pula berkata, "LTK betul-betul cari defend tinggi-tinggi ya...lain macam."

Melihat kepada statistik permainan Hafizal bersama Terengganu FC, pemain berusia 29 tahun itu banyak mendapat minit sebagai pemain gantian dalam aksi di Liga Super dan saingan Piala Malaysia.

Meskipun tidak banyak diturunkan dalam kesebelasan utama kerana tugas tersebut digalas import Sang Penyu, Pape Diakite, Hafizal mungkin ada kelebihan untuk merantai serangan lawan.

Bersama Perak FC di bawah bimbingan Teong Kim yang juga bekas jurulatih pasukan remaja Bayern Munich, Hafizal boleh mengasah ketajamannya untuk bergelar tanker sejati The Bos Gaurus.

Dengan kemasukan ketiga-tiga pemain itu bakal memperkuatkan pertahanan The Bos Gaurus bersama tonggak import, Sunday Afolabi selepas bintang kelahiran Nigeria itu bersetuju untuk menyambung kontrak selama dua tahun lagi bersama Perak FC.

Terdahulu, Perak FC mengumumkan bekas pemain PJ City FC, Sunil Chandran sebagai salah seorang penggempur di bahagian serangan.

Antara pemain lain yang sudah diumumkan menjadi sebahagian daripada skuad Seladang ialah dua pemain muda, Harith Naem dan Ilham Aqil, serta penjaga gol Melaka FC, Bryan See. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram