‘Ibarat squad rotation’, senarai terkini Harimau Malaya ketengah stail Pan-gon bereksperimen


  • Podium
  • Khamis, 24 Nov 2022

Harimau Malaya akan turun beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil. — Facebook/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu mengumumkan senarai 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022.

Menerusi kenyataan dikeluarkan badan induk berkenaan, senarai nama tersebut menunjukkan nama-nama baharu menjadi pilihan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Wajah-wajah pemain utama seperti bintang Johor Darul Takzim (JDT); Arif Aiman Mohd Hanapi, Corbin-Ong, Shahrul Saad, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Matthew Davies, Muhammad Syafiq Ahmad,, Mohd Afiq Fazail, Muhammad Syahmi Safari, Nathaniel Shio Hong Wan dan Natxo Insa tidak tersenarai kali ini.

Selain pemain utama skuad Harimau Selatan itu, jenerah tengah Sri Pahang, Muhammad Nor Azam Abdul Azih turut diketepikan daripada senarai pemain yang akan menjalani latihan pusat bermula Selasa depan.

Screenshot 2022-11-23 at 6.08.57 PM

12 pemain tidak dapat menyertai kem latihan Harimau Malaya kali ini. — Facebook/FAM

Difahamkan pengendali kelahiran Korea Selatan itu menyenaraikan 41 pemain termasuk 11 bintang JDT dan Azam Azih (Sri Pahang) namun Pan-gon bersetuju untuk melepaskan mereka atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Menurut FAM, sebagai menghormati Peraturan FIFA, 12 pemain tersebut tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Antara nama baharu yang disenaraikan ialah dua bintang Sri Pahang, Lee Tuck dan Sergio Aguero, serta jeneral tengah Sabah FC, Stuart Wilkin.

HM

Senarai penuh 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Percaturan yang dilakukan Pan-gon itu dilihat agak berbahaya dan berkemungkinan akan membuatkan skuad kebangsaan tidak berjaya merangkul Piala AFF 2022.

Bagaimanapun, bagi sesetengah penyokong ia sebenarnya memberi ruang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan masing-masing di peringkat antarabangsa.

Bukan itu sahaja, ia juga merupakan platform terbaik buat pengendali skuad kebangsaan itu bereksperimen bagi memilih pemain terbaik menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026 bermula tahun depan dan Piala Asia 2023 di Qatar nanti.

“Beri peluang kepada pemain lain untuk bermain di edisi AFF kali ini. Ibarat ’squad rotation’ buat pasukan kebangsaan,” kata peminat bola sepak tanah air, Abdullah Umar.

“Wow wow wow..Menarik eksperimen kali ini. Safawi bukan ke pemain JDT, kenapa ada terselit juga dia seorang di situ,” komen penyokong Harimau Malaya, Fanta Morgana.

“Kim Pan-gon nampaknya bereksperimen gugurkan nama besar, dia nak cuba alternatif. Kita tak boleh berharap dengan nama besar seperti Arif Aiman,” kata penyokong skuad kebangsaan, Syafiq SG.

Harimau Malaya akan turun beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai persiapan menjelang Piala AFF kali ini.

Selepas itu, Pan-gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022 bagi menghadapi Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.

Harimau Malaya akan menghadapi dua perlawanan di tempat lawan, menentang Myanmar pada 21 Disember dan Vietnam (27 Disember) manakala pertemuan dengan Laos (24 Disember) dan Singapura (3 Januari) dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6 atau 7 Januari dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final secara timbal balik pula dijadualkan pada 13 dan 16 Januari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram