SELEPAS kekalahan mengejutkan Argentina di tangan Arab Saudi, giliran juara Piala Dunia 2014, Jerman pula mencuri perhatian semua pihak apabila tewas kepada satu lagi wakil Asia, Jepun.
Meskipun mendahului pada separuh masa pertama, skuad Samurai Biru tidak mahu mengaku kalah dengan menjaringkan dua gol menerusi Ritsu Doan dan Takamu Asano dalam aksi Kumpulan E itu.
Namun, bagi penyokong seluruh dunia, mereka lebih kecewa dengan agenda politik yang cuba disampaikan skuad Die Mannschaft berbanding persembahan pemain di atas padang.
Menurut laporan Daily Mail, rata-rata penyokong di media sosial berpendapat pasukan itu layak mengalami kekalahan itu selepas dirasakan terlalu fokus dengan mesej tersirat yang cuba disampaikan sehingga leka daripada pertembungan itu.
"Jerman kalah kepada Jepun, tetapi pada saya, mereka layak dengan keputusan itu selepas hanya 'bermain' dengan politik sehingga lupa dengan bola sepak," kata Olusola Akinwale.
"Pasukan itu sepatutnya diarahkan untuk turun dan bermain bola sepak. Tetapi, tidak kerana mereka fokus terhadap perkara lain. Keputusan masa penuh; Bola sepak 2, Politik 1," kata Skiilashi.
"Inilah yang terjadi apabila pasukan datang ke Qatar untuk Piala Dunia untuk berhujah mengenai politik tetapi tidak kerana bola sepak," kata Arwa.
Pemain Jerman dengan aksi menutup mulut sebelum perlawanan bertemu Jepun. — Agensi
Sebelum perlawanan menentang Jepun itu, anak-anak buah Hansi Flick menegaskan pendirian mereka dengan menutup mulut ketika gambar berpasukan selepas cadangan untuk memakai logo anti-diskriminasi ditolak.
Perkara itu adalah berikutan kenyataan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) dan enam lagi negara yang tidak dibenarkan untuk memakai lilitan kapten dengan tulis 'OneLove' selepas dihalang perbadanan FIFA.
Bagaimanapun, selepas perlawanan tersebut bermula, laman Twitter rasmi DFB menyatakan aksi tersebut merupakan simbolik terhadap larangan untuk menyokong pendirian tersendiri.
"Kami mahu kapten pasukan, Manuel Neuer memakai lilitan dengan mesej itu untuk mempertahankan pendirian kami yang menjadi tunjang dalam skuad, iaitu bersatu dan hormat-menghormati.
"Tetapi, aksi menutup mulut itu bukanlah satu kenyataan berbaur politik kerana apa yang cuba disampaikan ialah hak asasi manusia," ciap perbadanan itu.
Sebelum ini, FIFA menegaskan tindakan akan diambil kepada mana-mana pasukan, termasuk England dan Wales yang cuba untuk melanggar arahan itu dengan memaparkan logo 'OneLove' tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram