NAMA-NAMA besar bola sepak daripada Pele hinggalah Michael Owen pernah mencatat sejarah tersendiri selepas dinobatkan pemain muda terbaik Piala Dunia. Pele meraih anugerah itu pada usia 17 tahun semasa kejohanan 1958 manakala Owen memenanginya pada 1998 ketika usia 18 tahun.
Bermula sebagai prospek dalam pembikinan, mereka menempa nama di kejohanan Piala Dunia dan terus menjadi sorotan hingga meningkat naik sebagai pemain bertaraf bintang.
Kempen Piala Dunia 2022 kali ini bakal mendapat sambutan apabila menampilkan bintang-bintang muda yang akan bersama-sama rakan sepasukan bertarung bagi merebut kejuaraan kejohanan berprestij itu.
Berikut tiga pemain muda yang bakal mencuri tumpuan pada Piala Dunia 2022 yang julung kalinya diadakan di negara Timur Tengah, Qatar.
1) Jude Bellingham (England)
Bintang Borussia Dortmund, Jude Bellingham yang turut bermain untuk skuad antarabangsa England itu menjadi rebutan kelab-kelab gergasi Liga Juara-Juara berikutan bakat luar biasanya.
Pemain berusia 19 tahun itu dirasakan boleh bergandingan dengan Declan Rice (bintang West Ham FC) di bahagian tengah untuk menjadikan pasukan England lebih dinamik.
Pemain tersebut boleh mengikut jejak langkah Kylian Mbappe yang membantu pasukan Perancis menjulang kejuaraan Piala Dunia pada 2018. Mbappe yang berusia 19 tahun ketika itu turut dinobatkan sebagai pemain muda terbaik.
2) Takefusa Kubo (Jepun)
Mendapat jolokan Messi Jepun, Takefusa Kubo antara pemain muda yang perlu diberi perhatian.
Pemain berusia 21 tahun itu yang juga peledak Real Sociedad memecahkan beberapa rekod semasa beraksi di akademi La Masia Barcelona.
Isu kelayakan FIFA membawa kepada kepulangannya ke Tokyo sebelum dia menandatangani kontrak dengan Real Madrid pada 2019.
Semasa bersama kelab itu, Kubo dipinjamkan ke empat kelab lain penyertaannya ke Real Sociedad pada musim panas lalu.
3) Pablo Gavira (Sepanyol)
Jika Kejohanan Eropah tahun lalu menyaksikan pemain Sepanyol, Pedri Lopez menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong bola sepak, tahun ini tumpuan dirasakan akan beralih kepada Pablo Gavira.
Terkenal dengan panggilan Gavi, pemain berusia 18 tahun yang beraksi bersama Barcelona itu juga memenangi anugerah Golden Boy 2022 sebaris dengan bintang-bintang ternama bola sepak termasuk Lionel Messi, Kylian Mbappe and Erling Haaland.
Sepanyol di bawah kendalian pengurus pasukan, Luis Enrique yang banyak menurunkan bintang-bintang muda termasuk Gavi dirasakan akan dapat mengembalikan era penguasaan kepada juara Piala Dunia 2010 itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram