BARU-BARU ini tular video memaparkan bekas pemain bola sepak pasukan Wales, Laura McAllister menunjukkan dia dipaksa untuk menanggalkan topi bucket kerana berwarna pelangi.
Insiden tersebut sewaktu dia melalui kawasan pemeriksaan keselamatan di Stadium Al Rayyan sewaktu menyaksikan perlawanan Piala Dunia Qatar antara Wales menentang Amerika Syarikat.
Difahamkan perkara tersebut berlaku disebabkan pegawal keselamatan memintanya untuk tidak memakai sebarang pakaian memiliki simbol yang diharamkan.
Memetik perkongsian di Instagram Vice World News, warna pelangi sering dikaitkan dengan pengikut amalan gaya hidup hubungan sejenis, LGBT.
Bagaimanapun dalam perkongsian sama, terdapat beberapa pengguna media sosial lain yang menolak tanggapan tersebut memandangkan McAllister sedang melalui kawasan pemeriksaan keselamatan.
Bagi mereka individu yang memakai topi perlu membukanya kerana itu sebahagian daripada prosedur wajib dan perkara itu turut dilakukan jika daftar masuk keselamatan di lapangan penerbangan.
Pada masa sama, ada juga yang meluahkan pandangan agar menghormati pendirian, budaya, kepercayaan dan kehendak pengurusan Qatar dan saling bertolak ansur.
“Tolong hentikan perkongsian seperti ini sekiranya tidak mahu semua orang berasa kecewa. Diharapkan dapat menghormati undang-undang yang ditetapkan di negara itu,” kata mrlewinn.
Sementara itu, Majoriti menghubungi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor untuk mengetahui reaksinya jika perkara sama turut dipraktikkan di Malaysia.
Wan Salim menegaskan, setiap kerajaan mempunyai hak untuk menghalang mana-mana individu daripada melakukan tindakan atau berkelakuan yang difikirkan boleh mengganggu ketenteraman awam di negaranya.
Begitu juga dengan memakai pakaian yang mempunyai lambang LGBT yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat terutama beragama Islam.
“Ini kerana golongan berkenaan diketahui mengamalkan budaya songsang yang tidak selari dengan tradisi masyarakat tempatan yang berasaskan agaran agama Islam.
“Larangan itu juga sesuai dengan salah satu peranan kerajaan yang menjunjung syariat Islam iaitu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran,” jelasnya.
Pada masa sama, Wan Salim berpendapat tindakan pihak berkuasa negara Qatar melarang penonton yang memakai topi membawa simbol golongan LBGT daripada memasuki stadium selaras dengan tuntutan agama Islam.
“Perbuatan itu bertujuan memelihara kemaslahatan rakyat daripada elemen yang boleh merosakkan akhlak dan agama mereka,” tambahnya.
Tolak LGBT
Menjawab mengenai pendapatnya sama ada bersetuju jika tindakan tersebut dilakukan di tanah air, Wan Salim bertegas dirinya bersetuju jika tindakan sama dilakukan pihak berkuasa tempatan.
“Kita tidak perlu membenarkan kebebasan mutlak seperti mana yang diperjuangkan oleh golongan liberal ekstrim. Kebebasan mestilah dibatasi oleh undang-undang, hukum agama dan nilai akhlak murni.
“Sebagai manusia kita wajar berkelakuan seperti haiwan yang tidak dikurniakan akal fikiran untuk membezakan antara baik dan buruk.
“Malah haiwan pun tidak melakukan amalan seksual luar tabi’i. Perlu diketahui bahawa ALLAH SWT menciptakan dua jenis hukum yang saling melengkapi antara satu sama lain iaitu hukum tabi’i (undang-undang semua jadi) dan hukum syariat,” terangnya panjang lebar.
Kedua-dua hukum ini perlu dipatuhi untuk kebahagiaan hidup di dunia. Sebarang tindakan dan perbuatan yang bertentangan dengan hukum tabi’i atau hukum syariat hanya akan mencelakakan kehidupan individu dan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram