Lima bintang, termasuk tonggak Chelsea terpaksa lupakan hasrat ke Piala Dunia


  • Podium
  • Selasa, 15 Nov 2022

Piala Dunia Qatar 2022 bakal membuka tirainya 22 November ini. — Agensi

TIDAK lama lagi, kempen Piala Dunia bakal membuka tirainya yang pasti sudah ditunggu-tunggu peminat bola sepak seluruh dunia sejak empat tahun lalu.

Edisi yang julung kalinya diadakan di negara Timur Tengah, Qatar memaksa penganjuran kali ini diadakan pada musim sejuk dengan mengambil kira faktor cuaca dan kesesuaian pemain.

Namun, perubahan itu tidak akan memberi kehampaan kepada penyokong selepas mereka pastinya tidak sabar-sabar untuk melihat pasukan kegemaran masing-masing merebut kejuaraan berprestij itu.

Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menyaksikan pemain kegemaran mereka untuk berkhidmat buat negara sendiri selepas kerap dilihat bermain buat kelab dalam liga masing-masing.

Bagaimanapun, Piala Dunia 2022 dilihat kurang mendapat sambutan apabila terdapat beberapa bintang yang terpaksa melupakan hasrat untuk bersama-sama rakan sepasukan kali ini.

Selain kecederaan, pemain-pemain itu gagal untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan masing-masing berikutan masalah prestasi dan kehadiran bakat-bakat muda.

Kehilangan mereka pasti dipersoalkan ramai pihak meskipun pemilihan ketua jurulatih sukar untuk dipersoalkan dengan kesemua daripada pengendali pasti mempunyai perancangan yang rapi.

Jadi, berikut merupakan lima pemain yang terpaksa menangguhkan cita-cita mereka untuk bersaing bersama pasukan dalam usaha mereka menjulang trofi berharga itu.

1. N'Golo Kante

Ketika Piala Dunia Rusia 2018, pemain antarabangsa Perancis, N'Golo Kante boleh disifatkan sebagai tonggak pasukan melihat kepada kemampuan dan kehebatannya di atas padang.

Kerajinannya untuk memberi tekanan kepada pasukan lawan sering diberi pujian dengan sumbangannya itu mampu memacu serangan balas yang boleh dimanfaatkan rakan sepasukan.

Namun, skuad Les Blues menerima berita buruk beberapa minggu sebelum Piala Dunia berlangsung selepas pemain tengah Chelsea itu dilaporkan menerima kecederaan otot.

1_GettyImages-1242503517

Kecederaan Kante memaksanya untuk disisihkan daripada skuad Piala Dunia Perancis. — Agensi

Ketua jurulatih pasukan, Didier Deschamps mengakui dia berasa sedih akan ketiadaan pemain berusia 31 tahun itu yang terpaksa diketepikan untuk sekurang-kurangnya empat bulan.

Di samping itu, dia juga pastinya berasa runsing akan kehilangan bintang tersebut yang sebelum ini membantu Perancis menjulang Piala Dunia, sekali gus menamatkan penantian 20 tahun untuk muncul juara.

Kali terakhir Kante beraksi di atas padang adalah ketika pertemuan dengan seteru setempat, Tottenham Hotspur di laman sendiri pada Ogos lalu.

Sejak itu, pemain bersusuk kecil itu dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan hamstring selepas kecederaan tersebut kerap berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.

2. David de Gea

Satu keputusan mengejut dibuat pengendali skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique selepas mengumumkan penjaga gawang Manchester United, David de Gea tidak terpilih untuk ke Piala Dunia Qatar.

Perkara itu jelas menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak selepas pemain berusia 32 tahun itu berjaya kembali ke tahap terbaiknya bersama The Red Devils musim ini.

Hal itu dibuktikan dengan kecekapannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menempuhi lima perlawanan tanpa dibolosi selepas 14 aksi liga.

1_GettyImages-1439609333

De Gea akur dengan keputusan barisan kejurulatihan Sepanyol untuk kempen tahun ini. — Agensi

Namun, Enrique bersama barisan kejurulatihannya bertegas untuk tidak membawa de Gea untuk memberi ruang kepada tiga penjaga gawang berpotensi iaitu Unai Simon, Robert Sanchez dan David Raya.

Sejak keputusan itu dibuat, de Gea bersikap profesional dengan berdiam diri dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan secara terbuka walaupun ia pastinya sukar untuk diterima.

Bekas graduan Atletico Madrid itu merupakan antara tonggak La Roja selepas meraih 45 penampilan serta kerap diberi kepercayaan dalam beberapa kejohanan besar, termasuk Piala Dunia 2018 dan Kejohanan Euro 2020.

Persoalannya, mampukah Enrique membawa pasukan kebangsaan Sepanyol untuk terus mara selepas pengalaman dan kemampuan de Gea mampu menjadi aset utama buat mereka kali ini?

3. Paul Pogba

Sejak meninggalkan Manchester United ketika jendela perpindahan musim panas lalu, pemain tengah, Paul Pogba gagal untuk meraih sebarang minit permainan selepas mengalami kecederaan.

Perkara itu memaksa Deschamps untuk tidak membawa pemain kreatif itu dengan terpaksa memberi kepercayaan kepada beberapa wajah muda seperti bakat Real Madrid, Aurelien Tchouameni.

Seperti N'Golo Kante, Pogba juga dilihat sebagai tonggak Les Blues yang membantu pasukan tersebut muncul sebagai juara pada edisi lalu dengan menjaringkan satu gol di perlawanan akhir.

41a09446c503022c

Pogba (kiri) masih belum berpeluang untuk beraksi bersama skuad utama Juventus musim ini. — Agensi

Meskipun pemain berusia 29 tahun itu kerap diberi kritikan di peringkat kelab, sumbangannya buat pasukan kebangsaan sukar untuk disangkal selepas 91 kali diturunkan.

Kehilangannya buat juara bertahan itu pastinya membawa kesukaran selepas kemahiran Pogba untuk melakukan hantaran merupakan satu aset utama buat pasukan.

Selain itu, hubungan baik antaranya dan rakan sepasukan juga mencipta satu suasana harmoni buat pasukan, sekali gus membolehkan pasukan tersebut untuk terus melakar kejayaan.

4. Diogo Jota

Selepas menyertai Liverpool pada 2020, Diogo Jota berjaya membina satu reputasi cemerlang sehingga berjaya meraih kepercayaan penuh daripada pengurus, Jurgen Klopp.

Perkara itu sediki sebanyak memacu karier pemain berusia 25 tahun itu untuk menyertai skuad kebangsaan Portugal, termasuk dalam kempen Kejohanan Euro 2020.

Namun, Jota terpaksa melupakan hasratnya untuk beraksi di kejuaraan paling berprestij dalam dunia bola sepak selepas dihurung kecederaan paha Oktober lalu.

1433883458.0

Jota mengalami kecederaan paha ketika berdepan Manchester City Oktober lalu. — Agensi

Sejak itu, penyerang berbadan kecil itu terpaksa disisihkan daripada skuad The Reds yang juga kelihatan sedikit bergelut dalam saingan EPL dan Liga Juara-juara UEFA (UCL) musim ini.

Bagaimanapun, bagi ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, kehilangan Jota bukanlah satu cabaran besar buat skuad Selecao dengan limpahan bintang serangan dalam skuad, termasuk Rafael Leao (AC Milan) dan Andre Silva (RB Leipzig).

Bagi Jota pula, dia pasti berasa kecewa dengan kecederaan yang dialami itu selepas dia tidak lagi beraksi sejak kemenangan di laman sendiri ketika berdepan Manchester City.

Untuk rekod, pemain lincah itu berjaya menempatkan dirinya dalam skuad kebangsaan selepas muncul sebanyak 29 kali sejak 2019 sehingga berjaya mencetak 10 gol dengan satu daripadanya diperolehi ketika Euro 2020.

5. Marco Reus

Selepas muncul sebagai juara Piala Dunia 2014, Jerman dikatakan semakin merosot saban tahun dengan kesukaran untuk mengulangi kejayaan itu, termasuk penyingkiran awal dalam edisi 2018.

Oleh itu, ketua jurulatih, Hansi Flick pastinya bercita-cita tinggi untuk menyuntik perubahan ke dalam skuad Die Mannschaft untuk menjulang trofi itu buat kali kelima dalam sejarah mereka.

Antara pendekatan yang dibuat adalah dengan membawa pemain terbaik di posisi masing-masing selain memastikan pasukan dipenuhi bakat muda dan wajah-wajah berpengalaman.

WhatsApp Image 2022-11-15 at 14.50.51

Kecederaan Reus merupakan satu kerugian buat skuad Die Mannschaft. — Agensi

Tetapi, hasrat itu seakan-akan sukar untuk direalisasikan selepas tonggak pasukan, Marco Reus sekali lagi terpaksa melupakan hasratnya untuk muncul dalam skuad Piala Dunia.

Kecederaan lutut yang dialami Oktober lalu menyaksikan kapten Borussia Dortmund itu disisihkan untuk beberapa aksi Bundesliga serta kempen UCL mereka.

Meskipun pasukan Jerman dibarisi pemain-pemain berkualiti, ketiadaan Reus yang lantang memberi arahan kepada rakan sepasukan pastinya dirindui untuk kempen kali ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram