Zamsaham minat no.33, tapi macam mustahil Ankrah tinggalkan Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Nama Ankrah menjadi sebutan dalam kalangan penyokong apabila menjaringkan satu gol pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu FC. — Facebook/Selangor FC

KEINGINAN pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk mendapatkan import dari baka Afrika semakin terlihat apabila didapati usahawan itu membuat hantaran mengenai seorang tonggak dari Selangor FC.

Sebelum ini, Norizam atau juga dikenali sebagai Zamsaham bertanya soalan kepada penyokong TRW mengenai idea untuk membawa masuk pemain import dari Afrika.

Niatnya itu seperti dipermudahkan apabila pemain import dari Gergasi Merah, Richmond Tetteh Ankrah menariknya minatnya sewaktu perlawanan aksi separuh akhir pertama antara Selangor FC dan Terengganu FC.

“Nampak no 33 ini bagus main,” tulisnya pada hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan kemudiannya sudah dipadam olehnya dan seorang pemilik akaun Muhd Safwan memuat naiknya kembali di laman penyokong TRW, The Red Warriors Malaysia: Info bolasepak TRW Kelantan FC.

“Awal padam bohzam. Kenapa padam, kita-kita juga. Selamat datang ke Kota Bharu. Bukit Jalil tahun depan,” tulisnya.

WhatsApp Image 2022-11-17 at 9.04.20 PM

Tangkap layar hantaran dari Zamsaham. — Facebook Zamsaham

Namun begitu, sebelum pemilik TRW itu membuat keputusan untuk merekrutnya, adalah lebih baik sekiranya beliau menilai dahulu keburukan dan kebaikan yang ada pada pemain kelahiran Ghana itu.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan beberapa kelebihan dan kekurangan sekiranya TRW membeli tonggak Gergasi Merah itu.

Pro:

1) Boleh menjadi 'tanker' buat TRW

Berketinggian 1.90 meter memang memang menjadi kelebihan buat pemain itu menjadi tanker buat Kelantan dan sekali gus kebal dalam menjaga kubu pertahanan TRW.

Ketinggian Ankrah juga boleh memberi saingan kepada beberapa pertahanan import pasukan lain seperti Pape Diakite yang berketinggian 1.94 meter.

Malah, struktur fizikal dan tubuhnya yang sasa juga memberi kelebihan buat pemain berjersi bernombor 33 itu membuat ancaman kepada lawan setiap kali perlawanan.

Dengan persaingan yang semakin sengit pada saingan Liga Super musim depan, membawa masuk Ankrah bakal menjadi pembelian berbaloi TRW untuk musim depan.

2) Gantikan pemain import yang tidak 'perform'

felipe

Masa depan Nixon (kanan) dan Felipe menjadi tanda tanya alam kalangan penyokong TRW. — Facebook/Kelantan FC

Musim ini menyaksikan Kelantan bergelut dengan beberapa pemain import yang disifatkan tidak memberi sumbang kepada pasukan berkenaan.

Difahamkan susulan prestasi yang kurang menyerlah dari beberapa bintang import itu, TRW dikatakan akan merombak beberapa pemain musim ini.

Antara wajah-wajah yang dikatakan tidak berada dalam perancangan The Red Warriors (TRW) ialah dua pemain import, Nixon Guylherme dan Felipe Hereda.

Jika pemain berusia 22 tahun itu menyertai Kelantan, dia boleh mengisi kekosongan pertahanan import, Hereda pada musim depan.

Khabar berita ini boleh menggembirakan penyokong yang kurang gemar dengan cara permainan dan prestasi pemain dari Brazil itu.

Kontra:

1) Perlu modal besar untuk membelinya

WhatsApp Image 2022-11-17 at 9.07.43 PM

Ketinggian ubi muda Selangor ini sesuai untuk menjaga kubu pertahanan. — Facebook/Selangor FC

Di sebalik kelebihan yang ada pada pemain muda itu, TRW perlu menerima hakikat bahawa terdapat beberapa kekurangan yang bakal dihadapi jika mmebawa masuk Ankrah.

Difahamkan, pasukan berpangkalan di Pantai timur itu perlu membayar lebih kepada Kelantan sekiranya mereka ingin menggunakan khidmatnya.

Hal ini disebabkan, Ankrah dikatakan masih terikat dengan kontrak bersama Selangor dan pasukan Kelantan perlu membayar pampasan kepada skuad Gergasi Merah.

Pasukan Lembah Klang itu baru sahaja menandatangani Ankrah pada awal musim ini bagi menggantikan khidmat pemain sebelum itu, Jordan Ayimbila yang berhijrah ke Amerika Syarikat.

2) Sukar untuk dipancing

WhatsApp Image 2022-11-17 at 9.07.34 PM

Ankrah memulakan perjalanannya di Liga Malaysia bersama Selangor 2. — Facebook/Selangor FC

Selain perlu mengeluarkan modal besar, Kelantan juga berkemungkinan akan menghadapi kesusahan dalam memujuk 'ubi import' muda Selangor itu.

Dia yang baru sahaja bersama Selangor pada musim ini pasti masih memerlukan masa untuk mengembangkan lagi potensinya di Liga Malaysia.

Malah dia juga seperti sudah mulai menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan dan semestinya bermain di bawah taktikal Tan Cheng Hoe.

Bukan itu sahaja, fasiliti yang ada di Selangor seperti padang laihan sendiri juga akan menjadi alasan kukuh untuk Ankrah memilih kekal di Selangor.

3) Kurang pendedahan dalam Liga Super

WhatsApp Image 2022-11-17 at 9.07.53 PM

Ankrah sebelum ini bermain Accra Lions FC. — Facebook/Selangor FC

Seperti diketahui, Ankrah memulakan perjalanan karier bola sepak bersama Selangor FC II, oleh itu dia kurang mempunyai pengalaman beraksi untuk Liga Super.

Jurulatih Gergasi Merah sebelum ini, Michael Feichtenbeiner mendedahkan alasan Ankrah bersama pasukan Selangor FC II adalah untuk memastikan dia dapat menyesuaikan diri di negara baharu.

Untuk musim ini, Ankrah baru membuat lima penampilan bersama skuad utama bagi aksi Liga Super dan satu kemunculan pada kempen Piala Malaysia.

Oleh itu, Kelantan mungkin akan mengalami sedikit kerugian jika mengambil pemain yang kurang pengalaman dalam Liga Super seperti Ankrah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram