SELEPAS hampir lima tahun beraksi dalam Liga Perdana, penyokong Kelantan FC akhirnya mampu menyaksikan pasukan itu bersaing dalam liga teratas domestik musim depan.
Kejayaan untuk berada di tangga kedua liga sudah cukup untuk meletakkan pasukan Pantai Timur itu ke divisyen teratas walaupun akhirnya berlaku perubahan format daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Mulai musim depan, tiada lagi lagi saingan Liga Perdana, tetapi sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam Liga Super.
Oleh itu, rombakan pasti dilakukan pihak pengurusan dengan pemilik mereka, Norizam Tukiman dilihat tidak sabar-sabar untuk memastikan The Red Warriors (TRW) tampil lebih hebat.
Selain memastikan wajah-wajah baharu dibawa masuk, penyokong juga pasti mengharapkan beberapa pemain ditunjukkan jalan keluar selepas kurang memberangsangkan sepanjang musim.
Antara nama yang sebelum ini dikatakan perlu meninggalkan pasukan ialah penyerang import Brazil, Nixon Guylherme selepas kurang memberi sumbangan berikutan isu kecederaan.
Hasrat itu seakan-akan tercapai apabila Nixon membuat satu hantaran menerusi laman Instagram peribadinya dengan menyebut bahawa dia bakal meninggalkan TRW musim depan.
"Satu tahun yang sukar, tetapi kita masih mampu untuk menamatkan liga di tangga kedua, terima kasih kepada penyokong untuk sokongan sepanjang musim," tulisnya.
Sehubungan itu, seorang pengganti pastinya dicari pihak pengurusan dan kejurulatihan bagi memastikan jentera serangan mereka terus mengancam ketika berdepan gergasi Liga Super.
Tetapi, siapakah yang mampu dibawa masuk dengan juara Liga Super 2012 itu pasti tidak mahu membuat kesilapan terburu-buru sehingga mampu merugikan pasukan?
Melihat kepada situasi semasa, terdapat tiga wajah yang dikenal pasti mampu dibawa masuk ketika jendela perpindahan kelak untuk menjadi penyerang baharu TRW selepas ini.
1. Wan Kuzain
Wan Kuzain juga boleh bermain dalam dua posisi yang berbeza sekali gus memberi kelebihan pada Kelantan FC. — Gambar Facebook/WanKuzain
Wan Kuzain atau nama penuhnya Wan Kuzain Wan Kamal merupakan pemain muda yang sedang menempa nama di liga bola sepak Amerika Syarikat.
Namanya mula meniti bibir peminat bola sepak tanah air selepas dia berjaya menyerlahkan bakat setelah menyertai pasukan dari liga simpanan Major League Soccer (MLS) Next Pro, St. Louis City SC 2.
Sepanjang kariernya bersama kelab tersebut, pemain berusia 24 tahun ini berjaya menjaringkan menjaringkan lima gol dan mencatatkan lima bantuan gol sepanjang 23 perlawanan.
Malah, Wan Kuzain juga boleh bermain dalam dua posisi yang berbeza iatu pemain tengah dan pemain tengah bertahan sekali gus memberikan kelebihan pada pasukan TRW.
Pada masa sama, pengalaman pemain berketinggian 178 sentimeter yang bermain di liga bola sepak luar negara sudah pasti mampu memberikan kelainan pada corak permainan skuad Kijang Merah.
Untuk rekod, Wan Kuzain sebelum ini pernah dipanggil berlatih bersama skuad B-23, namun, kesukaran mendapatkan kelulusan dan menyiapkan kertas kerja menyebabkan pemain muda ini tidak dapat diturunkan untuk beraksi.
2. Safawi Rasid
Penyertaan ke kelab lain akan membantu meningkatkan prestasi Safawi — Gambar Facebook/JohorSouthernTigers
Pemain sayap kelahiran Terengganu ini kurang mendapat minit permainan dengan kelab Johor Darul Takzim (JDT) berikutan saingan sengit bagi menembusi kesebelasan utama pasukan.
Meskipun jurulatih baru JDT, Hector Bidoglio dilihat memberi banyak peluang kepada pemain bangku simpanan mengasah taring, namun ia dirasakan tidak cukup buat Safawi yang pernah menyinar sebagai tonggak utama pasukan.
Kehadiran pemain lebih muda seperti Arif Aiman mengehadkan peluang pemain berusia 25 tahun itu melainkan dia berhijrah ke kelab lain bagi meneruskan kelangsungan karier bola sepaknya.
Bahkan penyertaan ke kelab lain akan membantu meningkatkan prestasi Safawi lebih-lebih lagi selepas insiden kegagalannya mengambil sepakan penalti ketika JDT bertemu Sabah dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 20 November lalu.
Justeru, Safawi dirasakan lebih elok berhijrah ke kelab lain bagi memburu minit permainan dan sekali gus mengembalikan mutu permainannya.
Dalam hal ini, Kelantan FC pastinya menjadi destinasi tepat berdasarkan hubungan baik antara pemilik TRW, Norizam Tukiman dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ). Norizam atau Zamsaham juga antara individu yang pernah berguru dengan TMJ tentang pengurusan kelab bola sepak profesional.
3. Hadi Fayyadh Abdul Razak
Hadi Fayyadh — Gambar Instagram/HadiFayyadh
Hadi Fayyadh merupakan seorang lagi pemain muda yang boleh dipertimbangkan untuk menyertai skuad TRW.
Pemain berusia 22 tahun yang bermain untuk kelab Jepun, Azul Claro ini dilihat berpontesnsi untuk menggantikan Nixon.
Faktor fizikalnya yang tinggi juga memberi kelebihan untuk Hadi kembali beraksi dalam liga bola sepak tempatan.
Pada masa sama, Hadi juga mempunyai pengalaman bermain bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram