Bekas bintang dedah ciri-ciri 'coach' idaman Zamsaham


  • Podium
  • Rabu, 23 Nov 2022

Zamsaham difahamkan sudah mengenal pasti wajah baharu untuk mengendalikan Kelantan FC musim depan. — Facebook/TRW Kelantan FC

NAIB juara Liga Perdana, Kelantan FC dijangka bakal tampil dengan wajah baharu musim depan dalam usaha mereka memberi saingan dengan lebih hebat.

Antara perkara yang pasti diambil perhatian oleh pihak pengurusan adalah dengan membawa masuk wajah-wajah baharu untuk menggantikan skuad ketika ini.

Selain itu, terdapat juga rancangan untuk menggantikan ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya yang tidak dapat mengendalikan The Red Warriors (TRW) musim depan berikutan isu lesen kejurulatihan.

Sebelum ini, pemilik pasukan, Norizam Tukiman dilihat masih berteka-teki untuk mencari pengendali baharu yang mempunyai ciri-ciri yang dihajatinya serta pihak pengurusan secara keseluruhan.

Baru-baru ini, pencarian itu dikatakan semakin menemui titik noktah selepas bekas ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, P Maniam menyatakan minatnya untuk membimbing Kelantan FC.

CAF2BAFE-7156-4F1B-9BB8-C761D5863CE4

Maniam menyatakan minat untuk mengendalikan Kelantan FC musim depan. Facebook/PJ City FC

Keupayaan Maniam untuk membimbing skuad The Phoenix musim ini berjaya mencuri perhatian beberapa kelab Liga Malaysia, lebih-lebih lagi dengan dasar pasukan yang menggunakan pemain tempatan.

Di samping itu, namanya mula dijulang selepas pasukan Lembah Klang itu gagal untuk memperolehi lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berikutan kekurangan pelaburan.

Minat itu turut disedari pemilik Kelantan FC itu dengan menyatakan bahawa dia juga terbuka untuk mendapatkan Maniam selepas tertarik akan sentuhannya sepanjang musim.

"Saya pernah terfikir untuk ambil beliau, tiba-tiba sahaja beri komen begini. Macam tahu-tahu sahaja, Insya-ALLAH saya akan berhubung dengan dia esok (Selasa)," kata Norizam yang mesra dengan panggilan Zamsaham menerusi akaun Facebook peribadinya.

Perkara itu pastinya menggembirakan penyokong TRW yang ketika ini tidak sabar-sabar untuk mengetahui hala tuju pasukan selepas kepulangan ke divisyen teratas bola sepak tempatan.

Tidak cukup dengan itu, bekas anak didik Maniam turut meluahkan kegembiraannya akan berita tersebut di samping berpendapat jurulatih itu mampu menyuntik perbezaan buat Kelantan FC musim depan.

Azri Alwan Nordin, atau juga dikenali sebagai Azri Walter berkata, pengalamannya ketika menimba ilmu di bawah jurulatih berusia 54 tahun itu membuktikan bahawa dia merupakan pilihan tepat.

289076687_3250239415221838_1809881194329606870_n

Azri (diri, dua dari kanan) ketika mewakili skuad simpanan Selangor FC pada 2007. Facebook/Azri Walter

"Saya pernah dilatih oleh coach P Maniam sewaktu beraksi untuk Selangor suatu ketika dahulu. Pendapat saya, P Maniam seorang yang berkaliber, mementingkan disiplin dan sangat komited," katanya.

Perkara itu semestinya terus membakar semangat peminat tegar TRW yang sebelum ini pernah berhasrat untuk melihat pengendali tempatan dalam kalangan barisan kejurulatihan Kelantan FC musim depan.

Azri sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Piala Presiden Selangor FC serta pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Wilayah Persekutuan sebelum menamatkan karier untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Ketika ini, dia yang sudah berusia 34 tahun itu sedang giat meneruskan perusahaan kedai gunting rambut dan difahamkan sudah mempunyai lebih daripada 20 cawangan seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram