SELEPAS menikmati satu musim yang cemerlang bersama Negeri Sembilan FC, pertahanan tengah, Khuzaimi Piee dikhabarkan bakal berhijrah ketika jendela perpindahan akan datang.
Aksi konsisten yang dipamerkan di atas padang sepanjang kempen Liga Super berjaya disaksikan penyokong bola sepak tempatan sehingga berjaya meletakkan namanya dalam kalangan pemain terbaik musim ini.
Selain itu, sumbangannya juga cukup penting buat skuad Jang yang berjaya menempatkan diri mereka di tangga keempat liga dengan satu rekod pertahanan cemerlang.
Sepanjang mengharungi 22 perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan FC hanya bolos 26 gol, berkongsi kedudukan ketiga terbaik dengan Sabah FC selepas Johor Darul Takzim (12 gol) dan Terengganu FC (20 gol).
Tidak cukup dengan itu, reputasi Khuzaimi juga berjaya menarik perhatian ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon ketika Piala Raja Thailand September lalu.
Kejayaan itu sudah cukup membanggakan buat pemain berusia 29 tahun itu yang sebelum ini sukar untuk menempatkan dirinya dalam kalangan pasukan gergasi Liga Malaysia.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila khabar angin kencang bertiup bahawa Selangor FC mula merisik Khuzaimi untuk dibawa masuk menyertai revolusi yang direncanakan Tan Cheng Hoe.
Kehilangan pemain yang juga dikenali sebagai Jimmy itu pastinya dirasai barisan kejurulatihan Negeri Sembilan FC selepas mereka meletakkan kepercayaan penuh terhadapnya musim ini.
Dalam 22 aksi Liga Super, bek kental itu hanya tidak diturunkan dalam tiga perlawanan selepas dia bijak mencipta gandingan serasi bersama pertahanan lain, seperti Herold Goulon dan Zamri Pin Ramli.
Jadi, sekiranya mereka kehilangan pemain dengan kaliber seperti itu, seorang pengganti pasti dicari pihak pengurusan dalam usaha mereka mengekalkan prestasi musim ini.
Namun, persoalannya, siapakah yang sesuai untuk disambar ketika tempoh perpindahan pemain Disember nanti dalam usaha mereka meneruskan kecemerlangan di posisi pertahanan?
Berikut merupakan tiga calon yang dilihat mempunyai ciri-ciri permainan serupa dengan Khuzaimi yang bijak menyekat hantaran lawan serta tenang dalam melakukan hantaran.
1. Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC)
Meskipun baru sahaja berusia 23 tahun, graduan akademik Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dilihat sebagai seorang pertahanan tengah yang matang berbanding pengalamannya.
Tenang, bijak dan berani adalah antara ciri-ciri yang dapat diperhatikan dalam pemain muda itu sehingga berjaya meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama.
Hal itu dapat dibuktikan apabila kesemua jurulatih Gergasi Merah musim ini meletakkan kepercayaan penuh kepadanya untuk beraksi dalam 26 perlawanan musim ini, dengan 18 daripadanya hadir dalam kancah liga.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila nama Sharul mula melonjak naik dengan penyokong bola sepak tanah air mula mendambakan dirinya dalam skuad kebangsaan dengan lebih kerap.
Tetapi, perkara itu seakan-akan sukar untuk direalisasikan sekiranya Khuzaimi menyertai Selangor FC yang pastinya bakal menyaksikan pemain muda itu diletakkan di bangku simpanan.
Pertahanan import, Yazan Al-Arab dilihat sebagai aset utama pasukan dengan dia bijak merangka strategi pasukan berdasarkan pengalamannya di peringkat kelab dan antarabangsa.
Sharul Nazeem mempamerkan bakatnya bersama Selangor FC. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, isu tersebut dapat diselesaikan sekiranya pihak pengurusan Negeri Sembilan FC dan Selangor FC berlapang dada untuk membela nasib kedua-dua pemain.
Sharul dilihat sebagai satu calon yang sesuai untuk menggantikan Khuzaimi dalam skuad Jang selepas dia juga kerap beraksi sebagai pemain tengah bertahan.
Di samping itu, jika kata putus dapat disimpulkan, satu perpindahan dengan status pinjaman juga pasti sudah cukup untuk menenangkan kesemua pihak dengan Sharul mampu mengembangkan lagi bakatnya.
Bagi Negeri Sembilan pula, kehadiran tonggak skuad Gergasi Merah itu juga mampu menyuntik semangat baharu buat pasukan yang dilihat mampu meneruskan kemaraan mereka di bawah ketua jurulatih, K Devan.
Namun, adakah Sharul akan terbuka untuk menyertai juara Liga Perdana 2021 itu selepas pasukannya dilihat sudah semakin cemerlang beberapa minggu kebelakangan ini?
Selain itu, mampukah Cheng Hoe melepaskan pemain muda tersebut ke pasukan Liga Malaysia lain selepas kedua-dua pihak mula menunjukkan keserasian di dalam dan luar padang.
2. Fadhli Shas (Johor Darul Takzim)
Selain khabar angin yang mengaitkan Khuzaimi ke Selangor FC, nama seorang lagi pemain, Muhammad Fadhli Shas juga kuat diperkatakan sejak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi di media sosial.
Musim ini, bekas pertahanan skuad kebangsaan itu dipinjamkan ke Melaka United selepas sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Johor Darul Takzim (JDT).
Tetapi, dengan skuad Hang Tuah tidak akan beraksi dalam disiyen teratas liga tempatan, Fadhli dilihat bakal pulang ke bangku atau skuad simpanan Harimau Selatan.
Hal itu pastinya sukar untuk diterima selepas dia berjaya membuktikan sentuhan dan khidmatnya masih lagi berkualiti meskipun dalam pasukan yang bergelut dari segi kewangan dan pengurusan.
Fadhli Shas dikhabarkan semakin hampir meninggalkan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Oleh itu, tidak hairanlah apabila ura-ura yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Negeri Sembilan FC semakin kencang menjelang jendela perpindahan hujung tahun ini.
Persoalannya, mengapakah skuad Jang berminat untuk mendapatkan pemain itu untuk menggantikan Khuzaimi apabila terdapat beberapa wajah-wajah lain yang mampu dibawa masuk?
Pertama, melihat kepada pengalaman Fadhli, tidak hairanlah apabila Devan berminat untuk mendapatkannya selepas pernah beraksi bersama skuad kebangsaan dan dalam Liga Malaysia.
Selain itu, pemain berusia 31 tahun itu bukan sahaja bijak membaca gerakan lawan, malah dia turut mempunyai kebolehan untuk diturunkan sebagai pemain tengah bertahan.
Peranan itu ketika ini dipikul Khuzaimi yang tenang dalam mengenal pasti rakan sepasukan serta berupaya merancang gerak balas menerusi hantaran panjangnya.
Berdasarkan dua ciri tersebut, Fadhli dilihat sebagai salah satu pemain yang boleh disambar ketika jendela perpindahan sekiranya mereka berhasrat untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Jang.
3. Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC)
Kekebalan benteng pertahanan Terengganu FC musim ini menjadi antara sebab di sebalik kemaraan pasukan tersebut yang terus memberi ancaman kepada JDT dalam Liga Super dan kejohanan-kejohanan lain.
Bagi penyokong, kredit sering diberikan kepada import pasukan, Pape Diakite dengan ketinggiannya yang mencecah 1.93 meter mampu mengekang serangan pihak lawan.
Di samping itu, kelantangan pemain kelahiran Senegal itu juga jelas kelihatan dalam setiap perlawanan selepas dia bijak menyusun benteng pertahanan mereka.
Mampukah Negeri Sembilan memikat Nijey ketika jendela perpindahan nanti? — Facebook/Terengganu FC
Namun, di sebalik kehadiran Diakite, terdapat seorang lagi pertahanan yang sewajarnya diberikan pujian melambung iaitu pemain tempatan, Shahrul Nizam Ros Hasni.
Dalam saingan Liga Super, Shahrul Nizam yang mesra dengan panggilan 'Nijey' cuma sekali tidak diturunkan ketika skuad Sang Penyu tewas di tangan Sabah FC ketika bertandang ke Stadium Likas, Sabah.
Hal tersebut membuktikan bahawa barisan kejurulatihan pasukan meletakkan kepercayaan penuh terhadap pemain berusia 24 tahun yang semakin bersinar di posisi tersendirinya itu.
Oleh itu, sekiranya Negeri Sembilan FC berhasrat untuk mencari pengganti kepada Khuzaimi, Nijey dilihat sebagai satu pilihan yang tepat di samping calon-calon yang lain.
Musim ini, Shahrul tidak merekodkan sebarang gol atau bantuan selepas tanggungjawab itu digalas sepenuhnya oleh jentera serangan atau jeneral tengah pasukan.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi satu penghalang kepada skuad Jang selepas Devan bijak mengolah anak-anak buahnya, termasuk Khuzaimi yang sebelum ini merupakan pemain tengah bertahan.
Usia Nijey yang masih muda dilihat sebagai satu peluang keemasan buat Negeri Sembilan dalam membangunkan pasukan untuk satu tempoh jangka masa panjang.
Persoalannya, mampukah mereka memikat khidmat pemain kelahiran Bachok, Kelantan itu untuk berhijrah apabila dia masih mempunyai kontrak bersama majikannya ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram