Enam kali Faisal menangis ucap selamat tinggal buat Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 22 Nov 2022

Faisal terbaring di atas padang selepas tamat perlawanan terakhirnya bersama TFC menentang Selangor FC pada Isnin. — Facebook/TFC

'TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.'

Begitulah mungkin perasan yang menemani pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim apabila menangis teresak-esak selepas perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Terengganu, pada Isnin.

Kempen Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022 terhenti di separuh akhir Piala Malaysia pada Isnin apabila disekat Selangor FC dengan kekalahan agregat 2-3.

Berakhirnya misi TFC itu bermaksud khidmat pemain sayap lincah kesayangan skuad Penyu bersama TFC, Faisal Halim turut menemui titik akhir.

Pemain berasal dari Pulau Pinang tersebut mempamerkan kesungguhan sehingga ke tiupan wisel terakhir bagi memastikan Terengganu tidak pulang dengan sebarang sesalan.

Biarpun tidak menang, Faisal sempat memberikan sumbangan terakhirnya buat TFC dengan menghantar bantuan gol kepada kapten TFC, Tchetche Kipre pada minit ke-36 untuk disumbatkan ke dalam gawang lawan.

Tangkap layar hantaran Faisal di Instagram.

Pemain berusia 24 tahun tersebut jelas sekali berat hati untuk meninggalkan TFC apabila sekali lagi mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong menerusi laman Instagram miliknya.

"Alhamdulillah! Terima kasih TFC dan seluruh warga Terengganu yang selalu memberi sokongan kepada saya selama dua tahun saya berada di sini.

"Semalam adalah game terakhir saya bersama TFC, saya mendoakan kepada seluruh warga Terengganu sentiasa sihat dah terus menyokong pasukan TFC.

"Saya akan merindui anda semua. Saya harap anda semua terus menyokong dan berdoa untuk saya," katanya dengan meletakkan enam emoji menangis dalam hantarannya itu.

Sebagai rekod, Faisal bermula menyertai TFC pada tahun 2020 dan mula menyerlah di bawah bimbingan ketua jurulatih muda, Nafuzi Zain.

Faisal terkenal sebagai pemain verstail kerana mampu memainkan peranan di posisi sayap kanan dan posisi sayap kiri.

Sepanjang dua tahun bersama TFC, Faisal merekodkan 15 gol dan 22 bantuan gol sepanjang 53 penampilannya bersama pasukan tersebut.

Khabar angin menyatakan bahawa Faisal menyarung jersi Selangor FC musim depan namun tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pemain atau kelab terbabit.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram