Cheng Hoe bawa Selangor ke final Piala Malaysia, khidmat Nafuzi berakhir


  • Podium
  • Isnin, 21 Nov 2022

Selangor FC mengesahkan kemaraan ke final Piala Malaysia untuk selepas mencatat kemenangan agregat 3-2 berdepan Terengganu FC.

SELANGOR FC mengesahkan kemaraan ke final Piala Malaysia untuk selepas mencatat kemenangan agregat 3-2 berdepan Terengganu FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Isnin.

Pada babak pertama, serangan bertali arus Terengganu FC membuahkan hasil apabila gol bantuan daripada Faisal Halim pada minit ke-36 membolehkan Tchetche Kipre menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Faisal terus melakukan percubaan demi percubaan untuk mendapatkan gol namun pertahanan Selangor tidak membenarkan skuad Penyu untuk merapatkan kedudukan sebelum wisel babak pertama ditamatkan.

Babak kedua menyaksikan asakan demi asakan dari pasukan Terengganu FC membuatkan pertahanan Red Giants tidak sempat untuk bernafas.

Bahagian jentera Selangor FC kelihatan tumpul apabila cubaan demi cubaan Herlison Caion tidak mendapat sokongan daripada rakan sepasukannya.

Namun, benteng pertahanan Selangor FC yang hanya bermain seramai 10 orang pemain terus kukuh sehingga wisel penamat ditiup.

Biarpun tidak meledakkan sebarang gol pada perlawanan separuh akhir ini, namun kelebihan agregrat membolehkan Selangor FC mara bertemu pasukan Johor Darul Takzim di pentas final pada Sabtu.

Kekalahan Terengganu FC bermaksud tugas Nafuzi Zain bersama pasukan Terengganu berakhir selepas menolak tawaran lanjutan kontrak sebagai jurulatih pada minggu lalu.

Manakala, kemenangan Selangor FC meneruskan lagi rekod tanpa kalah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sejak mengemudi Selangor FC bermula Oktober lalu.

Terengganu FC mengalami kekalahan 1-3 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya minggu lalu.

Kali terakhir Selangor layak ke final Piala Malaysia adalah pada tahun 2016.

Kemaraan Selangor FC layak ke pentas akhir Piala Malaysia 2022 bermakna Sabah FC perlu mengharapkan Selangor FC tewas di tangan Johor Darul Takzim untuk mengesahkan slot ke saingan Piala AFC.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram