'Seluruh Terengganu menangis', Nafuzi ucap selamat tinggal, heret 5 pemain TFC


  • Podium
  • Selasa, 22 Nov 2022

Nafuzi mulai dilantik menjadi jurulatih Terengganu pada musim 2020. — Facebook/TFC

IMPIAN Terengganu FC (TFC) untuk berjumpa Johor Darul Takzim (JDT) di pentas final Piala Malaysia tidak kesampaian selepas skuad Penyu tewas di tangan Selangor FC dengan agregat 3-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak pada Isnin itu, TFC berjaya merakam kemenangan 1-0 namun keputusan akhir agregat tidak berpihak kepadanya yang tewas 3-1 sebelum ini.

Jaringan tunggal pada perlawanan itu menyaksikan kapten TFC, Tchetche Kipre berjaya meledak gol pada minit ke-36 hasil bantuan daripada pemain sayap lincah, Faisal Halim.

kipre

Kipre menjadi penjaring tunggal pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Selangor. — Facebook/MFL

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kepada skuad di bawah kendalian Nafuzi Zain apabila Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke 87 selepas Yazan Al Arab diperintah keluar padang kerana melakukan kekasaran terhadap Kipre.

Bukan hanya terlepas aksi final, malah perlawanan di SSMZA merupakan perlawanan terakhir untuk Nafuzi bersama Terengganu selepas pengendali itu menolak tawaran lanjutan kontrak.

Berdasarkan kenyataan dari wartawan dari Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, jurulatih muda itu mengesahkan penghijrahannya ke pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) bagi musim hadapan.

Lebih merobek hati penyokong apabila dikhabarkan lima pemain TFC turut mengikut jejak langkah jurulatih berusia 44 tahun itu untuk berhijrah ke kelab lain.

WhatsApp Image 2022-11-22 at 1.06.22 PM

Ott dikhabarkan akan mengikuti Nafuzi ke Kedah. — Facebook/TFC

Antaranya ialah empat pemain import iaitu tonggak pertahanan, Pape Diakite; penyerang berbisa, Kpah Sherman; jeneral tengah; Manuel Ott, Kipre dan Faisal yang dikaitkan akan menyarung jersi Selangor pada musim depan.

“Nafuzi Zain ucap selamat tinggal, bakal mengendalikan Kedah Darul Aman FC musim depan. Difahamkan Manuel Ott turut menyertai Nafuzi dan pertemuan menentang Selangor FC malam ini turut jadi penampilan terakhir Faisal Halim bersama Terengganu FC,” ciapan Zulhelmi Zainal.

“Nampaknya Pape Diakite, Kpah Sherman dan Tcheche Kipre hampir pasti akan meninggalkan pasukan Terengganu. Kpah dikaitkan dengan perpindahan ke Kedah, manakala beberapa kelab Asia memantau Diakite. Tcheche diintai Sabah dan Kedah,” tulis seorang lagi wartawan sukan, T. Avineshwaran.

“Jangan Kpah dengan Kipre ikut sekali dahlah. Ambillah yang lain pula Kedah oi,” komen penyokong, Mohd Safirol.

Coach Nafuzi tinggalkan TFC, rasanya satu Terengganu nangis,” komen penyokong skuad Penyu, Nadine.

Namun begitu, sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk dari pengurusan TFC Nafuzi dan para pemain Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram