Masih belum gantung but, kudrat 5 kuda tua patut dah layak jadi 'coach'


  • Podium
  • Ahad, 20 Nov 2022

Shukor Adan antara pemain veteran berkarisma yang kini menyertai barisan kejurulatihan bersama KL City FC.

KEHADIRAN pemain senior dalam sesebuah pasukan adalah sangat penting berdasarkan kemampuan yang dimiliki.

Kemampuan dan pengalaman yang dimiliki pemain senior sememangnya sangat berharga terutamanya dalam membimbing pemain lain yang lebih muda.

Liga Super juga mempunyai beberapa pemain senior yang masih beraksi walaupun ada rakan mereka yang sudah bergelar penolong jurulatih atau jurulatih.

Antara pemain senior yang kini beraksi sebagai penolong jurulatih adalah Hairuddin Omar (Terengganu FC) dan Khalid Jamlus yang mengendalikan kelab Harini FC.

Seorang lagi pemain berkaliber yang bergelar jurulatih adalah Shukor Adan yang kini berkhidmat bersama Kuala Lumpur City sebagai penolong jurulatih.

Berikut Majoriti senaraikan lima kuda tua yang masih belum gantung but tetapi mempunyai kelayakan untuk menjadi jurulatih berdasarkan pengalaman dan kemampuan mereka:

Safee-Sali-KL-City-2021-Kedah-bojan-hodak-puji

Safee Sali

Berusia 38 tahun, Safee Sali masih beraksi dalam Liga Super bersama kelab KL City FC sebagai penyerang tulen.

Untuk Liga Super musim lalu, Safee hanya diturunkan sebanyak dua kali iaitu ketika menentang Penang FC dan Melaka FC.

Namun, kehadiran pemain berasal dari Kajang, Selangor dalam KL City masih digeruni dan dianggap sebagai supersub untuk pasukan terutamanya ketika pasukannya beraksi di Piala AFC.

Selain Liga Malaysia dan beraksi menentang pasukan antarabangsa, Safee pernah beraksi di liga Indonesia iaitu Pelita Jaya.

Menjadi pemain utama skuad kebangsaan dan pengalaman yang dimiliki sebelum ini, Safee jelas amat sesuai untuk beralih arah menjadi jurulatih.

1809224

Indra Putra Mahayuddin

Pemain penyerang Perak FC berusia 41 tahun ini antara pemain yang dianggap legenda bukan sahaja buat pasukannya kini, tetapi juga pasukan sebelum ini, Kelantan FC.

Indra Putra pernah beraksi untuk pasukan Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United dan Kuala Lumpur.

Dia juga antara pemain utama skuad kebangsaan yang banyak membantu negara meraih pingat Perak untuk Sukan Sea (2001), naib juara Pestabola Merdeka (2008) dan naib juara Piala AFF Suzuki (2014).

Pengalaman yang dimiliki Indra Putra cukup di peringkat tempatan dan antarabangsa memang cukup kuat untuk melayakkannya bergelar jurulatih.

amri-yahyah

Amri Yahyah

Penyerang veteran licik, Amri Yahyah, 41, kini menjadi sebahagian daripada pemain utama pasukan Sabah FC.

Sepanjang kariernya, Amri paling lama beraksi bersama skuad Selangor sejak 2001 hingga 2013 sebelum berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT) pada 2014 hingga 2016.

Selepas itu dia beraksi bersama Melaka United pada 2017 sebelum kembali semula ke pangkuan Selangor pada 2018 hingga 2019.

Pada 2020, Amri berhijrah pula ke Sarawak United dan kini beraksi bersama skuad Sabah FC.

Sepanjang kariernya, dia telah merangkul 19 trofi iaitu Liga Super, Piala FA, Liga Premier termasuk dua trofi antarabangsa, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Piala AFF 2015.

WhatsApp Image 2022-11-18 at 11.18.03 AM

Azammuddin Akil

SEORANG lagi pemain penyerang dan sayap, Azammuddin Akil, 37, juga dirasakan sudah layak untuk bersama kem kejurulatihan.

Dikenali sebagai Alex, pemain itu mula beraksi untuk Pahang, Shahzan Muda, UPB-MyTeam, JDT, Selangor dan kini, Kedah.

Sepanjang kariernya, Azamuddin telah meraih 10 trofi termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA.

Azamuddin juga antara yang membantu negara untuk bergelar naib juara dalam Piala AFF pada 2014.

1586056

Norshahrul Idlan Talaha

Berusia 36 tahun dan kini beraksi bersama pasukan yang mempunyai pergolakan kewangan, Melaka United, Norshahrul Idlan Talaha mungkin boleh naik satu tangga dalam karier bola sepaknya.

Norshahrul atau juga dikenali sebagai Matyo memulakan karier profesionalnya pada 2003 bersama Perak, namun beliau mula menempa nama dengan Kelantan di bawah kendalian B. Sathiananthan.

Beliau kemudian beraksi untuk JDT, Terengganu, Felda United, Pahang, BG Pathum United dan Sarawak United.

Sepanjang kariernya, beliau meraih 11 trofi termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, Piala AFF dan Liga Thailand.

Pengalamannya beraksi di peringkat antarabangsa dan liga tempatan layak menjadikannya sebagai jurulatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram