TEKA- TEKI berkenaan masa depan ketua jurulatih berpengalaman, Nafuzi Zain masih lagi tidak menemui jawapan meskipun surat lanjutan kontrak daripada pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) sudah ditawarkan pada Oktober lalu.
Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC selama lebih dua jam yang dipengerusikan Pengerusi Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Wan Sukairi yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah kelab itu berkata, pengurusan tertinggi TFC sangat berpuas hati dengan pencapaian skuad Sang Penyu di bawah kendalian pengendali dari Kelantan tersebut pada musim ini.
Namun seakan-akan ada yang tidak kena, ketua jurulatih berusia 44 tahun yang membisu selama ini akhirnya meluahkan isi hatinya berhubung isu itu.
Dengan nada terkilan, Nafuzi menerangkan bahawa tawaran daripada pihak pengurusan TFC bersifat tidak profesional dan membuatkannya terasa tidak dihargai.
"Saya jurulatih pertama di Malaysia yang hanya terima surat tawaran melalui ‘kitman’ di padang, tanpa perbincangan dua mata.
"Saya betul-betul terkilan dilayan seperti itu. Saya terima surat tawaran lanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober pada 29 Oktober dan ia diserahkan oleh kitman kepada saya di padang ketika latihan.
"Sepatutnya perlu ada perbincangan untuk hala tuju pasukan dan persediaan musim depan, perancangan jurulatih dan pihak pengurusan perlu selari kerana itu yang terbaik.
"Tetapi itu tak berlaku, saya diberi tawaran dan perlu setuju dengan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan, sama seperti apa yang berlaku tahun lepas," katanya selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Sabtu.
Sebagai rekod, kontrak Ketua Jurulatih itu bersama TFC akan tamat pada pengujung November ini.
Ini bukan kali pertama sikap profesionalism TFC dipersoalkan secara terbuka oleh ‘orang dalam’ di kalangan pemain dan pegawai kelab itu sendiri.
Sebelum ini, Faisal Halim turut secara terbuka mengkritik pengurusan kelab itu yang dianggap mengecewakan.
Berdasarkan perkembangan terkini itu, Nafuzi yang sebelum ini dikaitkan dengan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berkemungkinan memilih pasukan itu sekiranya benar tawaran sudah diberikan.
Sehingga kini, skuad Sang Kenari masih belum mengumumkan pengendali baharu pasukan itu bagi musim depan semenjak menamatkan kontrak Aidil Sharin Sahak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram