Gantung but atau tidak? 3 kelab 'tutup kedai', masa depan pemain undang teka-teki


  • Podium
  • Ahad, 20 Nov 2022

Ketiadaan PJ City, SUFC dan MUFC akan menyebabkan liga M mengalami lambakan pemain ekoran kekurangan pasukan.

PENUTUPAN Petaling Jaya City FC (PJ City) serta terkeluarnya Sarawak United FC (SUFC) dan Melaka United FC (MUFC) daripada Liga Malaysia 2023 bakal menghasilkan lambakan pemain musim depan.

Bukan nasib pemain ketiga-tiga pasukan tersebut sahaja berada dalam cagaran, malah nasib pemain kelab-kelab lain bakal terjejas disebabkan kekurangan pasukan dalam liga.

Bagi pemain berprestasi cemerlang, sudah tentu khidmat mereka ditagih kelab-kelab lain bagi menguatkan bahagian tertentu dalam pasukan masing-masing.

Namun bagi pemain sedang membangun, masa depan mereka dalam bola sepak pasti terancam sekiranya mereka tidak diserapkan atau dikekalkan dalam mana-mana pasukan musim depan.

Harith yang merupakan bekas pemain MUFC boleh menarik nafas lega apabila dipanggil Perak FC untuk musim depan.

Keadaan diburukkan dengan peraturan baharu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membenarkan sembilan pemain import diletakkan dalam satu-satu pasukan.

Jika dilihat kepada corak pemilihan pemain-pemain sedia ada sekarang, jurulatih-jurulatih seperti Lim Teong Kim dan Tan Cheng Hoe sepertinya berminat untuk membentuk pasukan yang dibarisi oleh pemain-pemain muda.

Sesetengah pemain muda tersebut adalah pemain-pemain yang 'dinaikkan pangkat' dari kelab 'feeder' seperti Akademi Mokhtar Dahari dan skuad remaja kelab-kelab sedia ada.

Ini menjadikan persaingan untuk mendapatkan tempat semakin sengit bagi pemain tempatan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia akan mendorong ramai pemain untuk 'gantung but' (bersara) musim depan.

Bagi mengulas persoalan itu, Majoriti mendapatkan pandangan penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa untuk merungkai isu yang membelenggu kancah bola sepak negara.

Kesungguhan Sabah FC untuk memancing Darren masih lagi sekadar khabar angin.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu percaya ramai pemain bakal kehilangan hilang kerjaya dan sumber pendapatan musim depan.

"Ada dua kemungkinan, pertama pemain senior akan kehilangan tempat dan pengunduran tersebut ditampung dengan pemain muda yang mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi.

"Kadar 15% kekurangan peluang bermain dalam pasukan Liga Super menjadikan ramai pemain perlu bermain di Liga Divisyen Tiga (Liga M3). Tapi M3 pun dah ada pemain mereka sendiri.

"Dan pemain senior pasti sukar untuk bermain di peringkat M3 memandangkan gaji sikit berbanding yang mereka dapat sekarang ni. Mungkin mereka akan pilih karier lain seperti perniagaan dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Sadek turut berasakan seandainya ada pemain mengambil lesen jurulatih A awal sebagai persediaan alternatif karier juga tidak membantu memandangkan isu sebenar adalah kekurangan pasukan.

Raja Imran tidak perlu 'menganggur' seperti rakan SUFC lain kerana sudah diikat Perak FC.

"Saranan terbaik buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan lebih banyak liga peringkat Universiti dan Politeknik serta bawah umur iaitu 13, 15 dan 17 bersesuaian dengan liga FIFA dalam kategori tersebut.

"Jadi, peluang jurulatih berlesen mendapat tempat melatih pasukan lebih tinggi. Sekiranya ini berlaku, barulah kita galakkan pemain ambil lesen A kejurulatihan.

"Sekiranya FAM tidak mengerakkan liga-liga semi pro ni dalam masa terdekat, liga kita akan terus suram dan hanya gah dengan juara satu pasukan sahaja sampai bila-bila.

"Disebabkan persaingan tidak kompetitif. Nilai penajaan pun akan jatuh juga nanti," jelasnya.

Sebagai rekod, MUFC dan SUFC gagal mendapatkan lesen untuk bermain dalam Liga M 2023 ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan terbabit.

Sementara PJ City pula sah menarik diri dari Liga M kerana matlamat kelab itu untuk tampil sebagai pasukan sepenuhnya pemain tempatan dilihat tidak bersesuaian dengan hala tuju penstrukturan LM 2023 yang membenarkan semua pasukan memiliki sembilan import. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram