Dah 'follow' IG Perak FC siap-siap, tonggak HM disebut-sebut bakal sarung jersi The Bos Gaurus


  • Podium
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Mohd Syukri (dua dari kiri) mulai memperkuatkan jentera tengah HM pada saingan Liga Malaysia 2022. — Facebook/ HM

KEPUTUSAN Malaysia Football League (MFL) yang menolak permohonan Harimau Melaka FC (HM) yang sebelum ini dikenali sebagai Melaka United FC (MUFC) untuk mendapatkan lesen kebangsaan membuatkan mereka terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas Liga Super 2023.

Penyingkiran dari saingan Liga Super itu membuatkan skuad Hang Tuah perlu menerima hakikat untuk bermain dalam saingan Liga Divisyen Tiga (Liga M3).

Selain HM, kelab berpangkalan di Borneo, Sarawak United FC (SUFC) juga menerima nasib yang sama.

melaka sarawak

HM dan SUFC tidak akan berpeluang mencuba format baharu Liga Super pada musim akan datang. — Facebook/ HM

Selepas keputusan yang dikeluarkan oleh MFL itu, nasib pemain dari kelab berkenaan juga mulai dipersoalkan dan desas-desus mengatakan ada di antaranya dikatakan bakal disambar oleh beberapa pasukan Liga Super.

Terbaharu, nama tonggak Harimau Melaka, Mohd Syukri Baharun disebut-sebut bakal menyertai Perak FC pada musim depan dan sekali gus bakal memperkukuhkan skuad The Bos Gaurus terutamanya di jentera tengah.

Pemain kelahiran Kunak, Sabah itu sering menjadi antara pilihan utama pengendali HM, Mohd Asri Ninggal untuk mengemudi skuad berkenaan bersama pemain import, Sony Norde dan Adriano Narcizo musim ini.

Selain skuad Hang Tuah, pemain muda berusia 23 tahun itu juga sempat menimba pengalamannya bersama Sabah FC dari skuad Piala belia sehingga dinaikkan pangkat ke skuad utama Sang Badak sebelum ini.

Khidmat jeneral tengah itu boleh digunakan sebaiknya oleh The Bos Gaurus dan Mohd Syukri juga berpeluang berguru dengan ketua jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim.

b8ad5333-dd81-49b6-8e64-7fdde8278d0d

Tangkap layar Instagram milik Mohd Syukri.

Ura-ura mengaitkan tonggak HM itu ke skuad Seladang semakin kukuh apabila Mohd Syukri dilihat mengikuti laman Instagram rasmi Perak FC.

Setakat ini, dua produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Ilham Aqil dan Harith Naem Jaineh diumumkan sebagai pemain baharu Perak untuk musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram