Bekas import Kedah cintakan Malaysia, sanggup terima mana-mana tawaran asalkan tak balik kampung


  • Podium
  • Sabtu, 19 Nov 2022

San Martin (dua dari kanan, bawah) merupakan watak penting ketika era kegemilangan skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA

SELEPAS mengambil keputusan menggugurkan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak dibimbing seorang pengendali berkaliber untuk menempuhi baki musim ini.

Tanggungjawab itu diletakkan secara sementara di bahu bekas pemain, Victor Andrag yang sebelum ini dijadikan pembantu kepada Aidil buat beberapa tahun.

Keputusan itu dilihat kurang membawa perubahan kepada pasukan selepas mereka disingkirkan di peringkat awal kepada satu lagi kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC.

Oleh itu, pihak pentadbiran pastinya berusaha untuk mencari ketua jurulatih baharu dalam memastikan pasukan itu lebih bersedia sebelum musim depan membuka tirainya.

Ketika ini, khabar angin kuat mengatakan Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain merupakan calon terbaik selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad Sang Penyu.

WhatsApp Image 2022-11-18 at 21.20.59

San Martin mengakui hatinya masih terikat dengan Malaysia. Agensi

Tetapi, muncul satu lagi individu yang dilihat mampu diberikan jawatan itu, iaitu bekas pemain Kedah FA, Nelson San Martin menerusi satu hantaran di laman peribadi Facebooknya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa pemain kelahiran Chile itu berkata, tiada usaha daripada pihak pengurusan Sang Kenari untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, hal itu tidak menyekat hasratnya dalam menyerlahkan bakat kejurulatihannya di negara ini selepas memasang cita-cita untuk meninggalkan tanah kelahirannya.

"Hasrat saya adalah untuk menetap bersama keluarga saya di Malaysia buat selama-lamanya dan jika saya tidak menjadi pengendali KDA FC, ia tidak menjadi masalah.

"Saya sememangnya menyayangi Kedah, tetapi jika mana-mana pasukan seperti Selangor atau Perak menghubungi saya, saya akan terima," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, San Martin pernah mengendalikan pasukan kecil yang berpangkalan di utara tanah air, Langkawi City FC untuk semusim, iaitu pada 2020 untuk meraih pengalaman dalam bidang itu.

Tetapi, selepas itu dia pulang ke Chile apabila tiada tawaran untuk mengendalikan mana-mana kelab berikutan kekurangan pendedahan serta peluang untuk menjadi jurulatih.

148258729_261051235480414_1286704249942112737_n

Keluarga San Martin terbuka dengan cadangan untuk menetap di Malaysia. Facebook/Nelson San Martin

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai tahap persediannya dalam menggalas tanggungjawab berat itu, San Martin menegaskan dia sudah mempunyai lesen untuk membimbing skuad simpanan.

"Pada 2016, saya pulang ke Chile dan saya menjalani kursus selama tiga tahun. Sekarang, lesen saya membolehkan saya untuk bertugas sebagai jurulatih pasukan Bawah 23 (B-23), Liga M3 dan Liga Perdana.

"Saya memerlukan pengalaman satu tahun lagi untuk membolehkan saya mengambil lesen Pro dan menjadi jurulatih kepada mana-mana pasukan Liga Super," katanya.

San Martin merupakan salah satu import terbaik dalam landskap bola sepak tempatan selepas berjaya membantu Kedah FA menjulang pelbagai kejuaraan sepanjang tiga musim di kelab itu.

Kemampuannya untuk mengawal skuad sememangnya merupakan aset utama dengan keserasiannya untuk bersama rakan sepasukan menjadi faktor utama di sebalik kejayaan membanggakan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram