Dilepaskan PJ City, tak perlu tunggu lama Sang Kenari sedia sambar bintang senior


  • Podium
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Pemain PJ City terpaksa mencari hala tuju baharu selepas bakal dibubarkan musim depan. — Facebook/PJ City FC

PENGUMUMAN mengenai pembubaran Petaling Jaya (PJ) City FC menarik perhatian ramai selepas pasukan itu dilihat menjadi platform utama kepada pemain tempatan meraih peluang dan minit permainan.

Kelab yang dibanjiri wajah-wajah tanah air, seperti Darren Lok dan V Ruventhiran itu terpaksa mengambil keputusan demikian selepas difahamkan tidak mempunyai struktur kewangan yang kukuh.

Perkara itu juga berjaya mengundang perhatian pasukan-pasukan Liga Malaysia yang pastinya tidak sabar-sabar untuk menyambar tonggak The Phoenix untuk menghadapi cabaran lebih besar musim depan.

Antara pasukan yang dijangka tidak mahu ketinggalan untuk menyambar pemain PJ City FC ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan usaha memperkukuhkan skuad mereka.

Musim ini, skuad Sang Kenari dilihat kurang mengancam selepas kehilangan beberapa pemain ketika jendela perpindahan selain beberapa isu pengurusan sepanjang tahun.

Namun, dengan kehadiran usahawan tempatan, Tan Sri Mohd Daud Bakar, pasukan utara tanah air itu dijangka melakukan rombakan terhadap skuad ketika jendela perpindahan akan datang.

Selain bakal menyingkirkan segelintir pemain yang kurang menyerlah, KDA FC juga pasti merancang untuk mendapatkan wajah-wajah baharu sebelum musim depan membuka tirainya.

WhatsApp Image 2022-11-18 at 18.39.41

Khyril (tengah) sukar untuk mendapat peluang bersama pasukan melihat kepada usianya. Facebook/PJ City FC

Bagi penyokong Hijau Kuning, mereka meluahkan beberapa cadangan di media sosial dengan berhasrat pihak pengurusan menjadikan PJ City FC sebagai sasaran dalam menguatkan lagi skuad mereka.

Salah satu nama yang mula disebut-sebut ialah bekas pemain Sang Kenari, Khyril Muhymeen dengan berharap jeneral pasukan itu mampu menyuntik pengalamannya ke dalam pasukan.

Pendapat itu dikongsikan oleh seorang penyokong bola sepak tempatan, Mohd Ridzwan Muhamad yang terbuka untuk melihat bekas tonggak skuad kebangsaan tersebut kembali untuk mengerah keringat bersama KDA FC.

"Kini, dikhabarkan Khyril Muhymeen bakal kembali bersama skuad KDA FC bagi musim 2023, sama-sama kita nantikan kesahihannya," tulis penyokong tegar Hijau Kuning itu.

Bagi Hairol Rizuan, dia turut menyokong kepulangan pemain itu selepas dia juga merupakan salah seorang tonggak ketika pasukan itu menikmati satu tempoh yang cemerlang dalam Liga Malaysia.

"Baguslah sekiranya dia memilih untuk menamatkan karier di Kedah kerana dia anak jati Kedah, jadi biarlah bersara di negeri ini sahaja," katanya.

Luahan itu turut disokong Mohd Zuraidee yang juga mahu melihat Khyril menyarung semula jersi pasukan itu musim depan selain diberi kepercayaan sebagai ketua pasukan oleh barisan kejurulatihan.

"Khyril Muhymeen ini memang terbaik dan boleh jadi kapten untuk musim 2023, lagi pula dia pernah bermain bersama Kedah ketika mencatatkan kejuaraan 'double treble' sebelum ini," katanya.

Sejak menyertai skuad The Phoenix awal tahun lalu, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu kurang diberikan minit permainan berikutan usianya yang sudah mencecah 35 tahun, sekali gus memberi impak besar terhadap kemampuannya.

FB_IMG_1571371997000

Anak jati Alor Setar ini merupakan tonggak ketika Kedah menikmati zaman kegemilangan mereka. Agensi

Tetapi, ia dilihat tidak menyekat sumbangan serta kemahirannya selepas berjaya mencatatkan satu gol, iaitu ketika pertemuan bersama KDA FC pada Mei lalu.

Kepulangan bermain bertubuh kecil itu pastinya diterima penyokong apabila kelab Negeri Jelapang Padi itu seakan-akan tidak mempunyai sentuhan kepimpinan di atas padang sejak pemergian Baddrol Bakhtiar tahun lalu.

Namun, adakah pihak pengurusan akan tertarik dengan luahan itu dengan mereka pasti mempunyai rancangan untuk mendapatkan pemain lebih muda sebagai satu pelaburan jangka masa panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram