SEBANYAK 45 gol dibolosi Penang FC dalam saingan Liga Super, sekali gus menyaksikan pasukan utara tanah air itu menamatkan kempen musim ini di kedudukan tercorot.
Perubahan barisan kejurulatihan pada pertengahan musim dikatakan sebagai antara punca kegoyahan benteng pertahanan dengan pengendali sementara, Datuk Zainal Abidin Hassan gagal menambah baik perkara tersebut.
Ketiadaan pemain berpengalaman tempatan di posisi itu menyukarkan proses komunikasi antara pemain dengan kapten pasukan, Rafael Vitor sekali gus berdepan kekangan menyusun benteng pertahanan.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pihak pengurusan Harimau Kumbang akan menggunakan peluang ketika jendela perpindahan untuk membawa masuk wajah baharu untuk pasukan itu.
Namun, mereka juga pastinya menyedari akan kekangan kewangan kelab yang menyekat usaha menarik bintang-bintang Liga Malaysia yang pastinya mampu memberikan kestabilan kepada benteng pertahanan.
Tetapi, limpahan pemain senior yang jarang beraksi dalam kesebelasan utama pasti mampu dipikat dengan menawarkan bayaran berpatutan serta menjanjikan minit permainan mencukupi.
Fadhli Shas dipinjamkan ke Melaka United demi minit-minit permainan. — Instagram/fadhlishas_27
Salah seorang pemain yang mengisi ciri-ciri itu ialah bekas pemain kebangsaan, Fadhli Shas apabila dia jarang diturunkan bersama majikannya, Johor Darul Takzim (JDT).
Musim lalu, pemain berusia 31 tahun itu dipinjamkan ke Melaka United dalam usaha menambah baik posisi pertahanan skuad Hang Tuah selain meraih peluang beraksi bersama skuad utama.
Bagaimanapun, difahamkan isu pentadbiran yang dihadapi Melaka United menyebabkan Fadhli tidak akan meneruskan khidmatnya di kelab tersebut dan pulang ke selatan tanah air.
Perkara itu membuka ruang buat anak jati Perak tersebut untuk mencari pasukan baharu kerana JDT sudah pun mempunyai tonggak pertahanan lebih berkaliber seperti Shahrul Saad, Shane Lowry dan prospek cerah, Feroz Baharudin.
Sebelum ini, Fadhli sememangnya dikaitkan dengan penghijrahan ke beberapa pasukan lain, termasuk Perak FC dan perkara itu seakan-akan mengesahkan sikap keterbukaannya untuk meninggalkan skuad Harimau Selatan.
Seorang peminat bola sepak tempatan menerusi laman Facebook Malayantigerfans berkata, Fadhli Shas kemungkinan bakal memilih untuk ke Penang FC musim depan.
"Khabar angin kaitkan pertahanan JDT, Fadhli Shas ke Penang FC untuk musim 2023? Mungkin hanya khabar angin sahaja kot ketika ini," tulisnya ringkas.
Kedatangan Fadhli pastinya mampu menambah baik kemampuan benteng pertahanan selain dia berpeluang menyumbang pengalaman untuk skuad Harimau Kumbang.
Namun, perkara itu masih belum dipastikan kerana tiada kata putus daripada mana-mana pihak serta tempoh perpindahan pemain hanya akan berlaku selepas tamatnya kempen Piala Malaysia hujung bulan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram