LAYANGAN kad merah yang diterima penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin ketika bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Piala Malaysia memaksa anak-anak buah Nafuzi Zain untuk beraksi dengan 10 orang untuk 30 minit permainan.
Namun, bagi tonggak Sang Penyu, Faisal Halim, dia tidak mahu perkara itu dijadikan alasan oleh rakan sepasukan untuk tidak beraksi dengan cemerlang.
"Sudah dua perlawanan kita bermain dengan 10 orang, ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana semua pemain sudah menghadapi satu keletihan yang maksimum sebenarnya.
"Tetapi, sebagai pemain, apa jua sekali pun, itu bukan faktor untuk kita boleh bagi satu alasan bahawa kita tidak mampu buat yang terbaik," katanya.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata demikian selepas pertembungan dengan KL City FC itu selain sempat memuji skuad Terengganu FC dalam perlawanan itu.
Dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia itu, Terengganu FC mendahului menerusi jaringan penyerang import, Kpah Sherman selepas dia berjaya menghidu peluang keemasan pada minit ke-14.
Bekalan itu pastinya memberi satu kelebihan buat pasukan Pantai Timur itu apabila mereka bakal menerima kunjungan skuad Warga Kota di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 12 November ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram