Cheng Hoe masih berteka-teki, turun skuad terbaik Selangor atau tidak masa sekali lagi jumpa TFC


  • Podium
  • Khamis, 17 Nov 2022

Pemain Selangor FC, Brenden Seng Ling Gan menanduk masuk bola ke gawang Terengganu dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022 di Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu. — Bernama

SENTUHAN magis ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe berhasil menamatkan 'badi' kekalahan Selangor FC kepada Terengganu FC yang telah membelenggu pasukan itu selama lebih tiga tahun sebelum ini.

Kejayaan itu diraih setelah Red Giants mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan skuad Penyu menerusi tandukan Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Shahrul Nazeem ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Rabu.

Kemenangan tersebut menjadikan pengendali berusia 54 tahun tersebut sebagai 'hero' dengan rekod 18 gol, empat bolos, tujuh menang, dua seri tanpa sebarang kekalahan sepanjang sembilan perlawanan.

Enggan mengambil kesemua kredit terhadap pencapaian tersebut, Cheng Hoe mahu kesemua barisan kejurulatihan, pemain dan pengurusan turut dipuji di atas usaha sama mereka menjadikan misi itu satu realiti.

Namun, Cheng Hoe enggan terlalu gembira kerana masih ada satu lagi baki perlawanan yang bakal menentukan sama ada impiannya untuk tiba di final bakal menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Setakat ini, pengendali kelahiran Kedah tersebut masih belum berbincang dengan barisan kejurulatih lain sama ada akan mengekalkan tonggak utama mereka pada aksi separuh akhir kedua nanti.

Cheng Hoe enggan selesa dengan prestasi semasa Gergasi Merah. —Facebook/Selangor FC

"Kami (barisan kejurulatihan) masih lagi dalam pertimbangan sama ada akan menurunkan beberapa pemain tonggak atau merehatkan mereka.

"Kami perlu lihat perkembangan mereka setelah berehat beberapa hari ini. Kami tahu bukan mudah untuk mereka bermain di laman lawan terutama dengan tekanan dari penyokong tuan rumah.

"Tapi sebagai jurulatih, saya harap mereka sedia sahut cabaran nanti kerana itu penting kalau mahu pergi jauh," katanya kepada Majoriti.

Selain mengakui bermotivasi melihat semangat pemain-pemainnya yang komited untuk mencapai kemenangan, tambah Cheng Hoe, pemain-pemain Selangor sudah semakin serasi dengan corak permainan dan taktikalnya dan menganggap itu sebagai satu berita baik buat Selangor FC secara keseluruhannya.

"Saya nampak pemain sudah boleh sebati dengan corak permainan saya secara berperingkat. Terutama pemain-pemain muda yang bersemangat untuk belajar dari ahli pasukan dan keinginan mereka untuk meningkatkan lagi kemahiran," katanya.

Kedua-dua pasukan bakal berdepan misi hidup dan mati menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Isnin.

Sebagai rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan berentap di pentas separuh akhir Piala Malaysia ialah pada edisi 2011 yang menyaksikan Terengganu menang dengan agregat 4-1.

Kali terakhir Selangor melangkah ke final pada 2016 manakala Terengganu pada edisi 2018.

Selangor muncul juara Piala Malaysia buat kali terakhir pada edisi 2015 sementara Terengganu mendakap trofi edisi 2001.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram