Nafi konflik dalaman punca TFC tewas, Nafuzi dedah sebab dikalahkan Selangor


  • Podium
  • Khamis, 17 Nov 2022

Nafuzi menafikan desas-desus skuad kendaliannya tewas di tangan Selangor angkara konflik dalamannya bersama pengurusan TFC. — Facebook/TFC

KETUA Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohd Zain tidak menganggap kekalahan pasukannya di tangan Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia disebabkan konflik dalaman pasukan antara beliau dengan pihak pengurusan.

Pengendali berusia 44 tahun itu berkata, biarpun Terengganu tewas 1-3 menentang Selangor pada Rabu, persembahan pasukan bimbingannya tiada beza jika dilihat dari segi komitmen yang diberikan pemain berbanding sebelum konflik itu berlaku.

"Kita tewas sebab kita bolos tiga gol menerusi 'set pieces' dan kita hanya jaringkan satu gol, itu saja. Kita kena tahu kualiti yang ada pada Selangor dan mereka gunakan sepenuhnya peluang yang ada atas kelemahan kita.

"Perbezaannya hanya kalah 1-3...persembahan sama saja...dari segi peluang tengok berapa banyak kita cipta. Bagi saya semua pemain berikan yang terbaik dan kita bermain corak permainan normal pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Petaling Jaya, Selangor.

WhatsApp Image 2022-11-17 at 5.51.29 PM

Kipre menjadi penjaring tunggal buat TFC pada aksi separuh akhir pertama menentang Selangor. — Facebook/TFC

Pada pertembungan itu, Terengganu yang memiliki satu kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada 2001 mengejutkan skuad Gergasi Merah selepas meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma ketua pasukan Tchetche Kipre pada minit ke-19.

Namun, Selangor bangkit menjaringkan tiga gol berpunca daripada sepakan sudut diambil Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yang disudahkan masing-masing oleh Richmond Tetteh Ankrah pada minit ke-37, Herlison Caion De Souza Ferreira (minit ke-43) dan Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-54.

Kekalahan itu menamatkan rentetan sembilan kemenangan berturut-turut skuad Penyu dalam kesemua pertandingan sejak kali terakhir tewas di pentas final Piala FA kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada 10 September lepas.

"Kalau dari segi persembahan ditunjukkan pemain, saya percaya kita akan ke final sebab dalam bola sepak macam-macam boleh terjadi, yang penting kita yakin dan berusaha...kita masih ada 90 minit lagi di Terengganu,” kata Nafuzi.

Aksi timbal balik Terengganu menentang Selangor dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Isnin depan.

Sebagai rekod, konflik yang berlaku antara Nafuzi dengan pihak pengurusan Terengganu telah menemui titik noktah dua hari lepas apabila pasukan itu mengesahkan Nafuzi tidak lagi akan bersama skuad Penyu bagi saingan Liga Malaysia musim depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram