Seirama tapi tak senada, 3 gabungan politik tak 'sebulu'


  • Politik
  • Khamis, 17 Nov 2022

TIGA gabungan politik yang terlibat konflik dalaman pada PRU15.

SESUATU yang normal untuk parti politik yang bertentangan untuk bertelagah antara satu sama lain dalam usaha untuk meraih undi di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, tempoh berkempen PRU15 kali ini juga menyaksikan pelbagai telagah antara calon. Ada yang lebih bersifat humor dan ada juga yang serius sehingga membawa kepada laporan polis dan sebagainya.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.31.00 PM

Namun, satu perkara yang paling tidak diingini dalam mana-mana parti adalah pertelingkahan antara sesama ahli yang akhirnya memberi impak kepada parti.

PRU15 kali ini menyaksikan beberapa otai politik 'terbunuh dan dibunuh' selepas lima tahun bergelar Ahli Parlimen disebabkan corak pengundi yang berbeza.

Ada yang akur dan berkorban demi menjayakan strategi baharu parti untuk meraih undi tetapi ada juga yang sukar menerima kenyataan yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan.

Berikut Majoriti senaraikan tiga ketidaksefahaman dalaman parti yang menjadi tumpuan dalam PRU15:

WhatsApp Image 2022-11-17 at 3.40.41 PM

Anwar Ibrahim vs Rafizi Ramli

Dua individu ini cukup dikenali dalam pentas politik dan kehadiran mereka dalam PRU bukan baharu, malah sudah bertahun.

Namun, dalam PRU15, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan Timbalannya, Rafizi Ramli dilihat seakan tidak senada dalam banyak perkara.

Antara yang menjadi tumpuan ialah berkaitan dengan ahli veteran PKR, Tian Chua yang memilih untuk bertanding di Parlimen Batu atas tiket bebas.

Anwar jelas menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan Tian Chua yang membelakangi keputusan parti serta membuat tindakan untuk melawan calon parti sendiri.

Akhirnya, PKR memutuskan untuk memecat Tian Chua.

Berbeza pula dengan Rafizi yang tahu sehari awal berkaitan dengan tindakan Tian Chua dan menerimanya dengan hati terbuka.

Bukan itu sahaja, Anwar juga sebelum ini menjangkakan yang PKR di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) boleh menang 100 kerusi.

Berbeza dengan Rafizi yang menyatakan bahawa hanya 80 kerusi boleh dimenangi PH. Perkara itu menjadi isu sehingga ada yang menyatakan bahawa kedua-dua pemimpi itu tidak mempunyai persefahaman yang baik.

WhatsApp Image 2022-11-17 at 3.42.26 PM

Ahmad Zahid vs Khairy Jamaluddin

Sebelum PRU15 membuka tirai lagi, Umno sudah menjadi bahan bualan dalam kalangan pengikut politik tempatan.

Manakan tidak, satu persatu calon 'otai PRU' terkorban sehingga ada yang mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket parti lain.

Selain itu, Khairy yang menjadi muka utama Umno juga hanya ditempatkan di Sungai Buloh, Selangor pada saat akhir.

Ahmad Zahid memberitahu yang dia tidak pernah meminta Khairy untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh sebaliknya itu adalah atas permintaan Menteri Kesihatan itu sendiri.

Perkara itu kemudian dibidas Khairy yang menyatakan bahawa dia sebenarnya tiada pilihan selain bertanding di Sungai Buloh.

Bukan itu sahaja, tindakan Ahmad Zahid menggugurkan empat ahli Umno juga menyaksikan kesemua mereka bangkit menentang parti sendiri.

Empat ahli berkenaan ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, penyandang kerusi Parlimen Arau dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran), yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga bertanding sebagai calon Bebas bagi kawasan Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, selain Datuk Azhar Ahmad bagi DUN Kuala Perlis.

WhatsApp Image 2022-11-17 at 3.43.57 PM

Muhyiddin Yassin vs Takiyuddin Hassan

PRU15 kali ini menyaksikan buat pertama kali PAS menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) yang turut ditunjangi Bersatu, Star, SAPP dan Gerakan.

Namun, aksi pertama dalam PRU nampaknya sedikit sumbang dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan PAS terpaksa dijawab semula oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertama adalah ketika Ketua Pemuda PAS Sik, Shahiful Nasir yang terlalu asyik berceramah hingga mengeluarkan ucapan berbaur amaran 'masuk api neraka' jika memilih BN atau PH berbanding PN.

Terkesan dengan apa yang berlaku, Muhyiddin Yassin ibarat terpaksa menebalkan mukanya untuk memohon maaf kepada pihak yang tersinggung untuk mengelak salah faham.

Tak lama kemudian, timbul pula kenyataan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan kemungkinan untuk bergabung dengan BN jika tidak mendapat majoriti mudah dalam PRU15.

Sekali lagi Muhyiddin terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa tujuan PN bertanding secara solo dalam PRU15 adalah untuk tidak bekerjsama dengan BN atau PH.

Malah, bekas Perdana Menteri itu juga terpaksa menjelaskan dakwaan yang mengatakan hubungan Bersatu dan PAS dalam PN ibarat 'kahwin mutaah' (kontrak/sementara).

Tambahnya, hubungan Bersatu dengan PAS cukup baik dan rapat memandangkan kedua-duanya adalah pengasas kepada PN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram