TFC terkesan kemelut dalaman, fans desak rehatkan Nafuzi, Faisal


  • Podium
  • Khamis, 17 Nov 2022

Prestasi Faisal dikaitkan dengan khabar angin bahawa dia bakal ke Selangor musim depan. — Facebook/ TFC

KEMELUT melibatkan pengurusan Terengganu FC (TFC) dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain sememangnya memberi kesan terhadap prestasi skuad Penyu di atas padang.

Segala kemegahan pasukan dari Pantai Timur itu bagaikan lebur apabila tewas 1-3 di tangan pasukan Selangor FC dengan hasil tandukan Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Shahrul Nazeem pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Rabu.

Satu-satunya gol buat pasukan pelawat disumbangkan ketua pasukan, Tchetche Kipre yang menembusi gawang Red Giants pada minit ke-18.

Kejayaan Selangor FC itu juga bermaksud mereka telah berjaya menamatkan badi kekalahan mereka dengan skuad Penyu sejak tiga tahun lalu, termasuk tewas tiga kali sepanjang musim ini.

Faisal (kiri) bertindak menghantar bola ke Kpah (kanan) berbanding terus menjaringkan gol tersebut.

Lebih menambah luka di kem Terengganu, pemain kesayangan mereka, Faisal Halim dilihat seperti hilang taring terutama apabila melepaskan peluang untuk menjaringkan gol.

Menurut penyokong, tindakan Faisal menghantar bola ke Kpah Sherman yang sedang dikawal rapi pertahanan Selangor FC sangat mencurigakan serta merugikan pasukan TFC.

Melihat kepada situasi itu, penyokong TFC, Fuzi Omar risau dengan kebarangkalian pada perlawanan separuh akhir kedua yang bakal menentukan sama ada mereka akan ke pentas final atau tidak.

"Game kedua nanti rehatkan Nafuzi dan Faisal. Bagi mereka jadi penonton sahaja," katanya.

Tambah Tee Hisyam: "Kalau beginilah sikap pemain tempatan kita. Tak lamalah karier pemain tersebut. Pemain tak ada semangat kesukanan dalam pasukan. Masalah sikit, terus prestasi jatuh."

"Hari-hari keluar isu Nafuzi Zain dan TFC, sedikit sebanyak mungkin boleh jatuhkan moral pemain," jelas Yusof Nion.

Aksi timbal balik di antara TFC dan Selangor FC akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak,Terengganu, pada Isnin.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram